Pendidikan sepanjang hayat bermatlamat untuk meningkatkan kualiti kehidupan individu dan masyarakat. Ia juga merupakan agenda penting negara dalam usaha membangunkan modal insan yang berilmu dan berkemahiran tinggi.

Selaras dengan perkemba­ngan itu, semua institusi pengajian tinggi di Malaysia telah diberi tanggungjawab untuk memenuhi hasrat kerajaan dalam melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi, berinovatif dan kreatif untuk memacu Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang merupakan salah sebuah universiti awam terbesar di negara ini turut terpanggil untuk menyahut cabaran tersebut.

Usaha itu dilakukan melalui Institut Pengajian Siswazah (IPSis) yang telah ditubuhkan sejak 1997. Dengan IPSiS, UiTM sentiasa berusaha mengembang dan memperkasakan program pengajian tinggi di peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Ketika ini, UiTM mempu­nyai kira-kira 9,000 pelajar yang sedang mengikuti pelbagai program Sarjana dan PhD di 28 buah fakulti dan pusat akademik di universiti itu.

Lebih membanggakan bila­ngan graduan bagi kedua-dua program tersebut juga bertambah setiap tahun dan sehingga kini, lebih 20,000 pelajar pascasiswazah telah menamatkan pengajian mereka di UiTM.

Bagi memastikan perkembangan positif itu berterusan, pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh IPSiS untuk meningkatkan enrolmen pelajar seperti permohonan dalam talian, penawaran program penyelidikan sepanjang tahun, penawaran skim bantuan kewangan dan yuran pengajian yang berpatutan.

UiTM juga mempunyai ahli akademik yang berkelayakan dan berpengalaman serta mampu membimbing pelajar pascasiswazah untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang.

Hasilnya, lebih 1,700 pelajar baharu telah mendaftar untuk sesi Mac 2017 dan angka itu me­rupakan satu petunjuk bahawa UiTM adalah sebuah universiti pilihan untuk pengajian pascasiswazah.

Kini, UiTM ingin mempelawa calon bumiputera untuk mengikuti pengajian di peringkat Sarjana dan PhD bagi kemasukan sesi September 2017.

Calon-calon boleh memilih hampir 200 program yang terdiri daripada pengajian secara kerja kursus, penyelidikan dan mod campuran. Program-program itu dijalankan secara sepenuh dan separuh masa.