ARI berjaya merangkul Anugerah Tadbir Urus Global sempena Majlis Kecemerlangan Anugerah Pendidikan Tinggi 2017 yang diadakan di Fairmont The Palm di Dubai, baru-baru ini.

Anugerah itu mengiktiraf peranan badan dan organisasi dalam meningkatkan kualiti urus tadbir dalam perkhidmatan sektor kerajaan, korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan tanggungjawab sosial yang berkesan.

Pengarah ARI, Prof. Normah Omar telah menerima anugerah itu yang mewakili Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk, Dr. Hassan Said.

Sementara itu, Dr. Hassan berkata, kecermerlangan UiTM menerima itu merupakan pengiktirafan tertinggi UiTM ke arah kecemerlangan dalam bidang akademik.

“Anugerah ini membuktikan UiTM dan ARI sebagai pemacu global terbaik dalam bidang tadbir urus dan integriti,”katanya.

ARI adalah antara enam institusi penyelidikan perintis yang telah dianugerahkan status HiCOE pada 2010 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi .

Institut itu sebelum ini memenangi Anugerah Pengurusan Risiko Global ASEAN pada 2016; Anugerah Global ACQ pada 2015 dan 2016; serta Anugerah Kewangan Islam Global pada 2014, 2015 dan 2016.