Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri, Komuniti, Alumni dan Keusahawanannya, Profesor Dr. Zaini Abdullah berkata, perkembangan pesat yang berlaku pada negara hari ini turut menuntut universiti ber­kenaan melakukan perubahan supaya mampu terus bersaing.

Beliau berkata, sebagai universiti terbesar yang mempunyai lebih 160,000 penuntut, UiTM yang dekat dengan komuniti akan memainkan peranan ke arah perubahan minda masyarakat untuk berdepan IoT dan Revolusi Industri 4.0.

“UiTM menyedari kita tidak boleh melupakan sumber manusia dan komuniti setempat dalam menghadapi cabaran baharu mutakhir ini dan oleh sebab itu, program yang dijalankan boleh dikatakan turut memupuk budaya ilmu kepada komuniti setempat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Edu Tourism di UiTM Cawangan Pulau Pinang, di sini semalam.

Yang turut hadir, Rektor UiTM cawangan berkenaan, Prof. Madya Dr. Mohd. Hisbany Mohd. Hashim.

Program berkenaan antara lain bertujuan untuk mempromosikan universiti berkenaan dalam usaha menjana pendapatan kepada kampus dengan diselia oleh Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan serta beberapa fakulti berkaitan kejuruteraan.

Menurutnya, UiTM negeri ini menjadi kampus kedua di luar kampus induk di Shah Alam yang menawarkan pakej Edu Tourism.

“Di Sarawak program berkenaan dijalankan dengan memfokuskan keindahan alam semula jadi dan jaringan sungai yang terdapat di negeri berkenaan dan saya yakin, Pulau Pinang juga mempunyai potensi memandangkan negeri ini sudah terkenal sebagai lokasi pelancongan unggul,” katanya.