Presiden UIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, kajian itu termasuklah mengenai perkembangan dunia Islam dan kaedah terbaik untuk mengelak masyarakat Islam terlibat dengan kumpulan pengganas.

Beliau berkata, kajian yang dilakukan juga boleh menjadi bahan rujukan kepada dunia kerana ketika ini amat jarang rujukan berkaitan Islam dilakukan berbanding bidang-bidang lain yang lebih mendapat tumpuan.

‘‘UIM ada kepakaran, jadi kita bersedia untuk memenuhi permintaan mana-mana pihak untuk menjalankan kajian berhubung perkara tersebut, hasil kajian adalah bagi manfaat semua terutamanya masyarakat Islam.

‘‘Kajian untuk membendung masalah keganasan juga perlu diberikan perhatian kerana terdapat pelbagai kumpulan pengganas yang muncul ketika ini,’’ katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis sam­butan ulang tahun ke-62 UIM di sini hari ini.

Menurut Mohd. Yusof, pihak­nya juga telah mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk berkongsi kepakaran dan jabatan itu boleh memberi nasihat kepada kerajaan sekiranya memerlukan kajian daripada UIM.

Mengulas mengenai majlis sambutan ulang tahun ke-62 UIM, Mohd. Yusof berkata, sambutan itu dianjurkan bagi memperingati jasa tokoh-tokoh dan juga alumni UIM yang dahulunya lebih dikenali sebagai Kolej Islam Malaya (KIM).