Bagi mencapai sasaran itu, UCAM yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) sejak tahun 1999, berhasrat melahirkan lebih ramai tenaga pengajar yang memiliki kelayakan ijazah doktor falsafah (PhD) iaitu sekurang-kurangnya 20 peratus.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Faridah Hanam Mohd. Rashid berkata, selain memastikan tenaga pengajar kolej universiti itu mampu mencapai status universiti penuh, pihaknya juga akan memastikan kurikulum yang ditawarkan di pusat pengajian itu sentiasa meme­nuhi kehendak pasaran pekerjaan supaya ia boleh diterima bukan sahaja majikan, malah ibu bapa.

“UCAM menyasarkan dalam tempoh lima tahun akan datang kita akan mencapai taraf universiti penuh dan untuk merealisasikan, kita memerlukan sekurang-kurangnya 20 peratus tenaga pengajar yang memiliki PhD dan ketika ini kita hanya memenuhi 15 peratus daripada kelayakan itu.

“Dengan keluasan kawasan pusat pengajian dan tanah pertanian kira-kira 60.7 hektar, UCAM juga perlu menjadi sebuah IPTS (institusi pengajian tinggi swasta) yang unik berbanding IPTS lain iaitu satu-satunya yang menawarkan bidang pengajian dalam bidang pertanian dan perladangan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di kolej universiti di sini baru-baru ini.

UCAM merupakan kolej universiti tunggal milik penuh RISDA, iaitu agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang akan dirasmikan Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa ini.

Kolej universiti itu yang bermula dengan lapan pelajar iaitu Sekolah Latihan Getah pada tahun 1960, kemudian ditukarkan sebagai Kolej RISDA pada tahun 1999 dan sekali lagi diberi wajah baharu sebagai UCAM pada tahun 2014 kini mempunyai sebanyak 3,500 pelajar yang sebahagian besarnya merupakan anak pekebun kecil dan masyarakat luar bandar.

Menurut Faridah Hanam, sejak tahun 2000 iaitu Kolej RISDA dan UCAM beroperasi, sebanyak 7,000 pelajar telah mendaftar dalam bidang pertanian, pengurusan perniagaan, sains komputer dan latihan dalam pelbagai bidang kemahiran.

“Kini UCAM melaksanakan sebanyak 25 program pengajian peringkat ijazah, diploma dan sijil meliputi bidang pertanian, pengurusan keusahawanan komputer, perakaunan, pengurusan landskap, perniagaan, keusahawanan, komputer, kewangan, pembangunan luar bandar, e-Perniagaan serta program peringkat sijil dan kemahiran,” jelasnya.

Berbekalkan falsafah bagi me­ningkatkan taraf pendidikan anak penduduk luar bandar, beliau berkata, UCAM kini memerlukan masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk menonjolkan namanya di peringkat IPTS untuk dikenali masyarakat.

Malah ujarnya, UCAM juga sentiasa melakukan pembaharuan termasuk mengadakan kerjasama dengan rangkaian industri luar seperti Green World Genetics (GWG) bagi mengadakan kerjasama membekalkan produk benih ja­gung untuk pasaran dan Persatuan Perbadanan Penanam (ISP) bagi mewujudkan kerjasama dan latihan amali kepada pelajar.

“Apabila kolej universiti ini mampu membekalkan kurikulum dan peluang kerja yang luas kepada pelajar, ia akan menjadi pilihan ibu bapa,” katanya sambil memberitahu UCAM menawarkan empat bidang pengajian peringkat ijazah iaitu Pengurusan Landskap, Sains Pertanian, Perakaunan dan Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Pertanian).

UCAM turut mengadakan kerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam ijazah Teknologi Perniagaan Pengurusan Keusahawanan Komputer serta peringkat diploma dan sijil de­ngan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sementara itu, bekas pelajar Diploma Sains Pertanian UCAM, Abu Naim Bakri, 28, berkata, menyertai UCAM ada­lah pengalaman yang menyeronokkan kerana pelajar di kolej universiti itu belajar seperti sebuah keluarga dan mudah berinteraksi dengan tenaga pengajar.

“Kami boleh berinteraksi dengan tenaga pengajar walaupun pada hujung minggu dan sama-sama mengusahakan projek perladangan dan saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada warga UCAM,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Pertanian di kolej universiti itu.

Muhamad Shairazi Supian, 30, pula berkata, dia merupakan antara pelajar ambilan terawal di kolej universiti itu dalam Diploma Sains Pertanian dan memiliki pengalaman yang agak unik iaitu membersihkan serta meneroka kawasan kolej universiti itu yang dahulunya hutan sehingga menjadi pusat pengajian seperti sekarang.

“Saya bersama rakan dan tenaga pengajar meneroka kawasan itu yang bukannya sudah tersedia sebagai kolej seperti sekarang, sebaliknya daripada situlah saya belajar untuk mengusahakan pertanian daripada awal pembabitan perladangan sehingga ia menjadi pusat pengajian dalam bidang pertanian dan perladangan ketika ini,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Ketua Reka Cipta Inovasi di ibu pejabat RISDA.