Pengarah Bahagian Kemahiran Tinggi Mara, Mahzan Teh berkata, TVET merupakan instrumen penting dalam melahirkan modal insan berkemahiran, inovatif serta berdaya saing di dalam negara dan di pentas global.

Menurut beliau, kurikulum bersepadu kursus TVET yang ditawarkan oleh institusi-institusi pendidikan di bawah Mara seperti Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) dan Institut Industri Mara-Jepun (MJII) adalah selaras dengan aspirasi melahirkan usahawan berdaya tahan.

“Mara amat peka dengan perkembangan teknologi semasa serta keperluan tenaga kerja mahir dan separa mahir. Oleh itu, setiap klasifikasi persijilan yang ditawarkan perlu berada di tahap terbaik sekali gus menghasilkan graduan yang berkemahiran tinggi serta kompeten.

“Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) menawarkan program sijil dan diploma yang merangkumi 12 kluster automotif, bioperubatan, alam bina dan pemprosesan bahan yang amat diperlukan oleh industri, sekali gus boleh menjana pendapatan yang tinggi, malah menjadi pilihan pasaran kerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mahzan memberitahu, orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang sistem pembelajaran TVET boleh mengunjungi Karnival Pendidikan Mara 2017 yang berlangsung di 14 lokasi di seluruh negara mulai 25 Februari lalu hingga 9 April ini.

“Karnival ini bermula di Perlis pada 25 hingga 26 Februari lalu dan lokasi-lokasi seterusnya dalam masa terdekat adalah Kelantan serta Kuala Lumpur,” jelasnya.