Malah ada yang sudah berjaya dan memperoleh pendapatan mencecah ribuan ringgit sebulan.

Pameran Rangkaian Penyelidikan Awam, Swasta dan Keusahawanan yang berlangsung di sini baru-baru ini membuktikan perkara itu tidak mustahil.

Seorang penuntut Kolej Komuniti Arau, Nur Atikah Arshad, 25, berkata, dia menjual tudung dan niqab sambil mengambil jurusan pembelajaran pendek sejak 2014.

Katanya, jurusan yang diambilnya termasuklah pelbagai kelas jahitan, satu atau dua kali sebulan.

“Saya bermula dengan memakai sendiri tudung dan niqab lalu memuat naiknya ke Instagram. Sejak itu, ramai orang bertanya dan ingin membeli.

“Akhirnya timbul minat lalu saya mengembangkan perniagaan yang kini sudah memasuki dua tahun,” katanya yang me­raih pendapatan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

Menceritakan keistimewaan hasil keluarannya itu, katanya, Anaqah Exclusive menampilkan niqab pelbagai warna berban­ding hanya warna hitam yang banyak terdapat di dalam pasaran.

Bagi sekumpulan 17 pelajar di Kolej Komuniti Tasek Gelugor, Butterworth, Pulau Pinang pula, mereka menghasilkan produk inovasi roti burger dengan menambah baik kandungan nutrisi dan rasanya.

Jurucakap kumpulan Papazola Kitchen - The Pastry House, Muhd. Syafiq Danish Saiful berkata, mereka mendapat idea itu hasil perbincangan dengan tenaga pengajar.

“Jika roti burger yang berada di pasaran rasanya biasa sahaja tetapi kami memasukkan lobak merah, arang buluh dan gabungan kedua-duanya untuk menambah baik rasa dan nutrisi.

“Syukurlah produk ini mendapat pasaran baik dan kami mengeluarkan sehingga 300 biji ban burger setiap minggu untuk pasaran di sekitar Ayer Tawar (Pulau Pinang),” katanya.

Pelajar dalam jurusan pastri itu berkata, tiga produk tersebut dinamakan ban burger karot, ban charcoal dan ban char-ca (campuran lobak dan arang).

Selain membuat roti ban burger, Muhd. Syafiq berkata, dia juga menghasilkan pelbagai kek perkahwinan dan juga majlis tertentu.