Salah satu pusat pengumpulan minyak masak terpakai terdapat di Universiti Putra Malaysia (UPM). Bagi memudahkan orang ramai, sebanyak tiga tempat pengumpulan disediakan, iaitu Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Kompleks Biorefinery (Loji Pandu Biokompos).

Pusat pengumpulan yang dibuka dari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga pukul 5 petang itu menawarkan RM1 bagi setiap 1 liter minyak masak terpakai.

Menurut Pegawai Sains Biorefinery Kompleks, Fakulti Sains Bioteknologi dan Biomolekular UPM, Mohd. Ridzuan Othman, program pengumpulan minyak masak terpakai itu dilakukan di bawah kempen anjuran UPM dengan kerjasama Yayasan CIMB.

Katanya, setiap individu dihadkan membuat penukaran sebanyak 15 liter sehari.

“Minyak masak terpakai itu akan dikitar semula menjadi biodiesel yang kemudiannya digunakan pada kenderaan jentera-jentera UPM,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Jelasnya, proses kitar semula minyak terpakai menjadi biodiesel dilakukan sekali seminggu membabitkan 100 kilogram minyak masak terpakai.

Katanya, sekurang-kurangnya tempoh tujuh jam diperlukan untuk memproses minyak masak terpakai berkenaan membabitkan campuran bahan kimia lain seperti kalium hidroksida dan metanol.

“Kami akan memproses minyak masak terpakai ini pada hujung minggu dan proses ini akan menghasilkan 90 liter biodiesel. Selebihnya adalah bahan buangan daripada minyak terpakai tersebut,” ujarnya.

Menurut Mohd Ridzuan, penyelidikan penghasilan biodiesel ini telah dimulakan sejak 2012 dan usaha itu diteruskan tahun ini dengan kerjasama Yayasan CIMB. - UTUSAN ONLINE