Universiti Malaya
 

Penarafan yang dibuat oleh QS World University Ranking menamakan jurusan Perpustakaan dan Pengurusan Maklumat berada di tangga ke-24 sementara jurusan Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik serta Pengajian Pembangunan masing-masing di tangga ke-30.

Selain itu, kursus Kejurute­raan Mekanikal, Aeronautikal dan Pembuatan berada di tangga ke-41 diikuti Kejuruteraan Kimia (42), Kejuruteraan Awam dan Struktur (46) serta Mineral dan Perlombongan (47).

QS yang mengeluarkan ran­king terkini mengikut subjek turut menamakan 21 jurusan lain di universiti awam sebagai antara 100 terbaik di dunia berbanding 19 mata pelajaran tahun lalu.

Pencapaian lima subjek kejuruteraan dalam senarai 50 terbaik di dunia juga telah me­lonjakkan penarafan kursus Kejuruteraan dan Teknologi UM di tempat ke-22 berbanding tempat ke 35 tahun lalu manakala pe­ngajian Sains Sosial dan Pengurusan pula berada di kedudukan ke-45 berbanding tangga ke-71 tahun lalu dengan tujuh subjek dalam kumpulan 100 teratas dunia.

Jurusan Kesenian dan Kemanusiaan pula menduduki tempat ke-65 dengan sumbangan tujuh subjek dalam kelompok 100 subjek terbaik dan ini menyaksikan peningkatan 20 tangga berban­ding tahun lalu.

Dalam pada itu, Naib Canselor UM, Datuk Abdul Rahim Hashim menyifatkan pencapaian itu adalah hasil komitmen, produktiviti tinggi serta dedikasi berterusan yang ditunjukkan oleh warga UM kepada penyelidikan dan pengajaran yang cemerlang.

“Kedudukan UM dalam ran­king terbaik itu mencerminkan pengiktirafan antarabangsa kepada kualiti pengajian dan siswazah yang dihasilkan oleh kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Meskipun gembira de­ngan pencapaian itu, Abdul Rahim mengakui UM kini berdepan dengan pelbagai cabaran untuk bergerak ke hadapan ekoran keadaan kewangan semasa.

“Cabaran-cabaran yang timbul ekoran situasi ekonomi semasa menyebabkan UM terpaksa mencari sumber sendiri bagi menjana pendapatan tambahan demi menyokong usaha pengantarabangsaan untuk terus menggiatkan penyelidikan serta membina rangkaian dengan industri dan rakan penyelidikan antarabangsa,” ujarnya.

Beliau menambah, UM juga memerlukan sokongan padu daripada kerajaan dan pemain industri untuk terus mengekalkan kedudukan universiti itu sebagai antara yang terbaik di dunia.

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi atas sokongan yang menjadi tulang belakang kepada pencapaian UM hari ini,” katanya.