Ketua penyelaras program itu, Nur Farrah Azwa Jasni berkata, program berkenaan di­sertai sembilan pelajar dan tiga pegawai politeknik tersebut.

“Matlamat utama program ini adalah untuk menjalin hubu­ngan serantau yang lebih akrab serta mewujudkan jaringan kolaborasi antara dua buah negara ASEAN antara Malaysia-Thailand iaitu dalam hal-hal berkaitan pendidikan, kebudayaan serta hubungan baik antara dua institusi khususnya PTSB dengan Universiti Raja­bhat, Thailand,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, kunjungan de­legasi PTSB ke Universiti Raja­bhat itu membolehkan delegasi berdialog antara pelajar ke arah memperelokkan lagi aktiviti pertukaran pelajar dalam bidang budaya.

“Peserta juga menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) semasa berada di Masjid Al-Hidayah Hatyai, Thailand.

“Pelajar ambil peluang menjalankan aktiviti gotong-royong membersih persekitaran masjid berkenaan dan kemudian menyerah sumbangan berupa telekung, sejadah kepada pihak masjid itu,” katanya.

Nur Farrah Azwa berkata, program lain termasuk lawatan ke industri batik tenun Thailand yang berusia hampir 20 tahun, lawatan keusahawanan di ASEAN Market, Kilang Kekacang, Pusat Penternakan Lebah dan lain-lain lagi.

Beliau menambah, banyak ilmu dapat dipelajari oleh peserta dan program begini mampu mewujudkan satu ruang kerjasama antara institusi di peringkat antarabangsa ke arah membentuk kemahiran ilmu yang lebih tinggi di kalangan pelajar kedua negara berkenaan.