Ketiga-tiganya, Mohd. Yusri Mohamad, 42, yang merupakan pembekal ikan air tawar; Nik Mas Roslina Jaffar, 41, (pengusaha aiskrim) dan Junaida Abdul Aziz, 39, (perunding kewa­ngan) terpilih menyertai Program Endowmen Pembangunan Usahawan Fasa 2, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Kesemua mereka bukan sahaja menerima pinjaman mudah bernilai RM5,000 setiap seorang bahkan akan dipantau dan dibimbing melalui siri kursus dan sistem mentor daripada pensyarah universiti itu termasuk mendapatkan peluang memasarkan produk melalui rangkaian kerjasama UMK.

Menurut Mohd Yusri, dia akan menggunakan pinjaman tersebut untuk menyediakan tempat transit bagi menyimpan bekalan ikan air tawar yang didapatinya dari beberapa daerah.

“Saya berhenti kerja sebagai eksekutif operasi bahagian logistik di sebuah anak syarikat DRB-HICOM di Shah Alam, Selangor dan balik ke kampung menternak ikan air tawar de­ngan menyewa kolam,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Program Endowmen Pembangunan Usahawan Fasa 2 di Kampus Kota UMK Pengkalan Chepa di sini baru-baru ini.

Cek pembiayaan disam­pai­kan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Che Omar.

Dana program itu disumbangkan NADICORP Holdings Sdn. Bhd dan 10 usahawan terpilih untuk mene­rima pembiayaan Fasa 1 pada Februari lalu.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi Keusahawanan Global UMK, Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhamad berkata, peserta dipilih setelah memenuhi syarat dan berjaya dalam temuduga.