Fakulti Kejuruteraan Pembuat­an UMP mencapai 99.1 peratus diikuti Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTek) (97 peratus) dan Fakulti Sains dan Teknologi Industri (96.1 peratus).

Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, kejayaan tersebut membolehkan UMP mencapai sebanyak 95.1 peratus graduan memperoleh pekerjaan mengikut rekod Kajian Pengesanan Graduan, iaitu kaji selidik yang dijalankan Kementerian Pendidikan Tinggi sepanjang tahun lalu.

“Pencapaian ini merupakan peningkatan yang boleh dibanggakan berkat hasil kerjasama Pusat Pembangunan dan Penempatan Kerjaya (CPDC), Jabatan Jaringan Industri dan Masyarakat bersama pihak fakulti dan pusat tanggungjawab universiti ini,” ka­tanya dalam satu majlis baru-baru ini.

Yang turut hadir Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMP, Prof. Dr. Jamil Ismail; Pendaftar UMP, Abd. Hamid Majid: Pengarah CPDC universiti berkenaan, Datuk Jeffrey Khor Choi dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Prof. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff.

Menurut Daing Nasir, pelbagai program dianjurkan oleh CPDC dan pengurusan fakulti di universiti berkenaan untuk memberi kefahaman lebih baik bagi meme­nuhi keperluan pasaran kerjaya graduan.

Kata beliau, syarikat yang terlibat seperti RP Chemicals, Kaneka Malaysia dan TT Elektronik memberikan pendedahan kepada penuntut UMP dalam menghadapi cabaran kerjaya pada masa akan datang.

“Selain itu, inisiatif-inisiatif ba­gi memotivasikan penuntut sebagai persediaan kerjaya ma­sa depan turut diadakan se­perti pelancaran Indie-Zone dan Program Finish Up & Move On (FUMO).

“Penuntut juga mengikuti sesi mock interview bagi meningkatkan keyakinan diri semasa menjalani sesi temuduga yang sebenar,” katanya.

Tambah beliau, mahasiswa UMP turut mengikuti Program Boot Camp yang dianjurkan bersama TalentCorp Malaysia untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran insaniah, persediaan temuduga dan etika pemakaian.