Pengerusi Lembaga Pengarah TATiUC, Ghazali Taib berkata, sekiranya menjadi kenyataan, langkah tersebut sekali gus turut mengukuhkan lagi intergriti pusat pengajian itu sebagai gedung pengeluar tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Pihak pengendali projek ECRL, Technology Depository Agency (TDA) di bawah Kementerian Kewangan sebelum ini menyatakan cadangan untuk memilih TATiUC sebagai institusi penyedia latihan kepada projek mega laluan keretapi laju itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen TATiUC Ke-11 yang diadakan di Dewan Canselor TATiUC, di Teluk Kalong, di sini baru-baru ini.

Dalam majlis yang diadakan bersama dengan Sambutan 10 tahun TATIUC itu, seramai 555 graduan diraikan dan mereka terdiri daripada 422 graduan pemegang diploma manakala 33 graduan lagi pemegang Ijazah Sarjana Muda.

Yang turut hadir, Canselor­nya, Tan Sri Ir. Dr Wan Abdul Rahman Wan Yaakob; Pengerusi Lembaga Pentadbir TATIUC, Bazlan Abdul Rahman; Rektor TATIUC, Prof. Madya Dr. Mohd Zamri Ibrahim dan Timbalan Rektor (Akademik & Pengantarabangsaan) TATIUC, Dr. Rosliza Ramli.

Menurut Ghazali, proses run­dingan bersama pihak TDA de­ngan pengurusan TATiUC akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Latihan yang disediakan meliputi enam sub-sektor iaitu 'rolling stock', 'track work', signalling and communications', ‘automated fares’ collection’, electrification’ dan 'tunneling and e-locomotive’.

“Sebagai sebuah institusi teknologi tinggi, TATiUC memiliki fasiliti yang lengkap dan punyai kepakaran yang membolehkan kita menjalankan tanggungjawab sebagai pusat latihan kepada pekerja-pekerja projek ECRL.

“Bukan itu saja, pihak pengendali projek juga berhasrat mengambil graduan-graduan TATiUC sebagai tenaga kerja dalam lokomotif. ECRL dijangka mampu menyediakan sebanyak antara 2,000 hingga 3,000 pe­luang pekerjaan,” ujarnya.

Dalam majlis itu, Zulkhibri Ba­harom yang memperlihatkan kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum dam kepemimpinan menerima Anugerah Canselor manakala Md Raffiq Shahril Alias (Anugerah Pengerusi) dan Wan Muhammad Zharfan Wan Ismail (Anugerah Rektor).