Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Raman berkata, perbadanan itu yang akan berpe­ranan sebagaimana Perbadanan Putrajaya akan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Katanya, perbadanan itu bertanggungjawab secara keseluruhan untuk pembangunan pendi­dikan yang bakal menempatkan pelbagai institusi pendidikan tinggi secara berperingkat di tapak seluas 280 hektar.

Katanya, sebagai satu langkah awal, Wan Nawawi akan mempengerusikan jawatankuasa komuniti Taman Ilmu bagi memasti­kan semua kerosakan prasarana dibaik pulih dan aspek keselamatan terjamin bagi mengelak vandalisme.

“Saya beri tempoh tiga bulan supaya semua bangunan yang ada di Taman Ilmu ini akan berfungsi. Saya serahkan kepada Setiausaha Kerajaan yang akan mengetuai jawatankuasa itu,” katanya selepas majlis penyerahan tapak kepada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang bakal dinaik taraf kepada Universiti P. Ramlee, di Taman Ilmu di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan nege­ri, A. Latiff Awang.

Taman Ilmu dibangunkan di bawah projek Pembangunan Wi­layah Ekonomi Pantai Timur dilaksanakan sejak 2004 membabitkan peruntukan RM300 juta namun sebahagian bangunan terdedah kepada kerosakan setelah projek itu tergendala sekian lama.