Pengasas dan Pemilik FOC, Fizo Omar berkata, SYB memberi nafas baharu kepada usahawan untuk mendalami teknik-teknik perniagaan yang diformulasikan beliau sendiri sepanjang menceburi pelbagai bisnes pinggiran jalan sehinggalah tertubuhnya lima syarikat.

“FOC amat berpuas hati de­ngan penerimaan masyarakat di negeri ini khususnya berkaitan program keusahawanan dan seminar bisnes yang meliputi konsep, cabaran serta metodologi perniagaan dalam arus dunia keusahawanan melalui kaedah yang lebih segar.

“Saya berharap SYB siri jelajah Kelantan ini dapat mencipta fenomena tersendiri dengan permulaan yang sangat baik melalui kerjasama padu yang diberikan oleh pihak UMK de­ngan menyediakan kemudahan tempat dan penyertaan 50 pelajar UMK,” katanya pada Program Bersama Usahawan Fizo Omar: SYB di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, dekat sini, baru-baru ini.

Seminar yang memberi peluang pemasaran yang lebih luas dalam dunia perniagaan itu dikendalikan oleh Personaliti Televisyen dan Pakar Motivasi, Abu Talib Husin selaku pemudahcara manakala Fizo berkongsi pengalamannya.

Para peserta diberikan peluang berinteraksi dan bertanyakan soalan kepada Fizo sepanjang prohram tersebut berlangsung.

Dalam pada itu, Fizo yang pernah dianugerahkan sebagai Ikon Belia Malaysia, Usahawan Muda Muncul dan Ikon Belia Keusahawanan berkata, pihaknya dan UMK bercadang meneruskan program yang sama pada masa hadapan kerana sambutan yang mengalakkan daripada orang ramai.

“Misi utama SYB adalah program Tanggung Jawab Sosial (CSR) oleh pihak FOC untuk menggalakkan orang ramai menceburi bidang keusahawanan yang kemudiannya menyumbang semula kepada masyarakat dalam bentuk wang ringgit, tenaga dan ilmu serta pengalaman.

“Kami juga membuka peluang perniagaan kepada mereka yang benar-benar berminat de­ngan memberikan latihan pe­ngendalian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Hassan Mohd. Osman berkata, program SYB bertujuan memberikan pendedahan berkaitan perniagaan dan keusahawanan kepada 50 pelajar UMK yang terlibat dalam penganjuran Pesta Konvokesyen UMK (PESKO Jaya) pada Oktober nanti.

Menurutnya, seminar berkenaan adalah satu peluang belajar tentang perancangan dan pe­ngurusan dalam mengendalikan sesuatu majlis atau aktiviti yang memerlukan mereka berfikir cara seorang usahawan untuk menjana pendapatan.

“Selain itu, seperti kita maklum Fizo Omar merupakan seorang ikon usahawan seleberiti yang terkenal dan melalui kerjasama ini juga dapat membantu memperkenalkan UMK kepada pihak umum bahawa universiti ini adalah sebuah Universiti Keusahawanan,” katanya.