Pegawai Pusat Komunikasi Strategik USIM, Mohd. Zaini Othman berkata, ia merupakan pengiktirafan kepada sumbangan beliau kepada kejayaan program kemahasiswaan di USIM khususnya pembangunan pengucapan awam iaitu debat dan pidato.

Ujarnya, Syamsul Amri atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat yang merupakan jurulatih debat bahasa Melayu USIM sejak tahun 2008 sehingga kini, telah membimbing dan melahirkan ramai pendebat berkebolehan serta menaikkan nama universiti dalam pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Antaranya pasukan debat Bahasa Melayu USIM muncul johan pertandingan Debat Diraja Kategori Muda pada 2009, Bahas Pendidikan Islam Asean, Debat Piala Perdana Menteri dan Debat Alam Sekitar masing-masing pada 2011, Pertandingan Debat Ibnu Khaldun (2015); Debat Saham Piala MISEE (2016) dan Cabaran Debat Muda (2016).

“Pasukan debat USIM yang dilatihnya turut mara dalam beberapa pertandingan akhir debat dan kejayaan terbaharu adalah Naib Juara Debat Piala Menteri Besar Johor 2017 yang menyaksikan pendebat USIM dinobatkan Pendebat Terbaik Pertandingan Akhir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Anugerah telah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak kepada wakil beliau dalam Aksis 2016/2017 di Dewan Tuanku Canselor di sini.

Yang turut hadir Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Pada majlis Aksis, sebanyak 18 anugerah disampaikan kepada pelajar USIM yang cemerlang dalam pelbagai kategori antaranya kepimpinan, kesukarelaan, keusahawanan dan kebudayaan. - UTUSAN ONLINE