Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Asisten Komisioner Samad Yahya berkata, mereka boleh menjadi mata dan telinga pihak polis untuk melaporkan kes jenayah yang berlaku khususnya di dalam kampus dan komuniti setempat.

“Indeks jenayah menunjukkan penurunan tetapi reaksi dan persepsi masyarakat pula berla­i­nan apabila mereka masih merasakan jenayah semakin me­ningkat serta keselamatan tidak terjamin.

“Ini menjadi cabaran kepada kami untuk memperbetulkan per­sepsi dan Kor Suksis boleh me­mainkan peranan memperbe-tulkan kerisauan masyarakat ini bersama kami,” katanya ketika berucap dalam majlis Amanat dan Angkat Sumpah 200 pelatih baharu Kor Suksis USIM dekat sini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) merangkap Komandan Kor Suksis USIM, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Dalam pada itu, Samad turut menasihatkan para pelajar untuk berhati-hati ketika menggunakan media sosial bagi mengelakkan daripada terjebak dalam kegiatan ekstremis seperti kumpulan militan Daesh yang sentiasa mencari peluang merekrut golongan muda khususnya yang berlatar-belakangkan pengajian Islam.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan berbangga dengan pencapaian cemerlang Kor Suksis USIM apabila menerima Anugerah Khas Ketua Polis Negara untuk Skuad Kor Suksis Terbaik dan Pelatih Terbaik Keseluruhan Universiti Awam baru-baru ini.