Nor Zaiazmin Yahaya, 40, memperoleh PhD dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal manakala isterinya, Noraini Othman, 40, (Kejuruteraan Mikroelektronik) dalam Sidang Pertama, Istiadat Konvokesyen Kali Ke-13 Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di Pauh Putra di sini.

Menceritakan pengalamannya, Zai­az­-
min berkata, adakalanya ketika me­nempuh dugaan dalam menguruskan anak-anak, menyebabkan dia seakan-akan ingin mengalah dan berhenti meneruskan pengajiannya itu.

Namun katanya, isterinyalah yang menjadi pendorong untuk dia terus tabah sehingga berjaya menamatkan tempoh pengajian selama lima tahun.

“Memang banyak cabaran dalam menguruskan masa untuk keluarga apabila kedua-dua kami mengambil keputusan meneruskan pengajian ke peringkat PhD bersama-sama dan pada masa sama perlu bekerja sebagai pensyarah di waktu pagi.

“Adakalanya saya terpaksa menjadi ‘ibu’ dan memasak untuk anak-anak, selain menjaga keperluan mereka apabila isteri ke kelas pada waktu petang iaitu setiap Rabu, Khamis dan Jumaat,” katanya.

Noraini pula memberitahu, rahsia mereka dapat menghabiskan pengajian itu adalah kerana kedua-duanya berjanji untuk tidak membawa ‘pulang’ apa jua masalah di universiti semasa pengajian dan bekerja ke rumah.

“Memanglah tertekan untuk menyiapkan tugasan akademik dan pada masa sama menguruskan anak kedua yang merupakan orang kurang upaya (OKU),” katanya yang mempunyai empat orang cahaya mata perempuan berusia antara tujuh hingga 14 tahun.

Tambahnya, berpeluang naik ke atas pentas dan menggenggam PhD bersama-sama suami adalah detik manis yang tidak akan mereka lupakan.