Sofea yang memperoleh ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik Aktuari dan Kewangan) berkata, dia memang meminati bidang keusahawanan dan matematik sejak di bangku sekolah dan sering mencari peluang untuk mengikuti aktiviti berkaitan ke­dua-dua perkara tersebut.

“Saya bergiat aktif dalam Persatuan Enactus Universiti Malaya selain projek kemasyarakatan yang berasaskan kesenian, keusahawanan dan alam sekitar. Sejak setahun lalu saya membuka satu perniagaan atas talian dikenali sebagai cheer parcel ­yang menghantar hadiah cenderamata untuk menceriakan hati penerima. Saya juga merupakan seorang penulis blog yang membuat ulasan mengenai buku-buku.

“Walaupun bergerak aktif dalam pelbagai aktiviti saya telah menetapkan dan merangka masa untuk mengulangkaji pelajaran,” katanya yang menerima empat Anugerah Dekan sepanjang pe­ngajiannya.

Anak sulung daripada dua beradik itu yang menerima tawaran bekerja dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia berkata, dia juga akan melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana sambil be­kerja.

Sofea merupakan antara 5,073 graduan yang memperoleh ijazah masing-masing dalam Istiadat Konvokesyen UM Ke-55 di sini yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini.

Keinginan sama turut dilahirkan oleh Kuen Wei berasal dari Ipoh, Perak yang bakal bekerja di sebuah syarikat hartanah di ne­geri itu.

Penerima ijazah Sarjana Muda Pengurusan Harta Tanah berkata, dia sentiasa mencari peluang untuk menambah pengalaman sebelum menceburi bidang pekerjaan.

“Saya juga bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk projek membina 30 rumah yang rosak di Kelantan. Saya juga merupakan seorang peme­gang lesen lelongan awam yang membolehkan saya terlibat dalam aktiviti penjualan hartanah.

“Namun begitu, saya tidak mengabaikan pelajaran. Saya akan menetapkan satu jadual masa di mana saya hanya akan mengulangkaji pelajaran dalam tempoh tersebut dan tidak diganggu perkara lain,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu lagi.