Program SkillCT Fest 2017 yang diadakan selama empat hari mulai 24 September di Dewan Harumanis dan sekitar PTSS ini disusun dengan pelbagai acara yang disertai kira-kira 2,000 pelajar dan pensyarah politeknik dari seluruh negara.

Pegawai Perhubungan Awam PTSS, Shahril Annuar Ahmad berkata, antara program yang dirancangkan seperti PolySkills, Poly E-Cup, Perlis Photo Festival, Edu-Tourism dan My Agrosis Bazaar.

“PolySkills lebih kepada pemilihan peserta terbaik bagi mewakili politeknik ke peringkat World Skills yang dianjurkan Jabatan Pembangunan Kemahiran,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pertandingan yang dianjurkan antaranya kimpalan, elektronik, rekaan laman web dan juga lukisan grafik geomatik.

“Poly E-Cup lebih kepada pertandingan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris manakala Perlis Photo Festival untuk mencungkil bakat seni fotografi yang menawarkan RM1,000 sebagai hadiah utama,” katanya.

Katanya, Edu-Tourism pula sebuah penganjuran rombongan pelancongan oleh PTSS yang boleh disertai orang ramai menerusi pelbagai pakej dengan tawaran harga menarik.

Manakala program My Agrosis Bazaar pula katanya, ia bagi memperkasakan kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar dengan melibatkan industri kecil dan sederhana.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, apa yang menarik kesemua gerai perniagaan tersebut disertai pelajar pelbagai kursus.

Salah satunya gerai yang menjual makanan yang sedang tular iaitu kerabu maggi dan lokchin oleh pelajar Semester Dua Diploma Perkhidmatan Makanan (Amalan Halal) yang diketuai Mohd. Izzat Mohd. Rafae, 22.

Beliau berkata, semua 23 pelajar bergilir-gilir menjual makanan itu yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengunjung.

Gerai yang diusahakan pelajar Semester Dua Diploma Pengurusan Acara yang diketuai Nur Afiqah Abd. Hamid, 19, pula menyifatkan peluang berniaga ini digunakan sepenuhnya bagi memahirkan cara berkomunikasi dengan pelanggan.

“Pengalaman ini menjadikan kami tidak malu untuk menjadikan perniagaan sebagai tambahan pendapatan setelah bekerja nanti,” katanya.

Begitu juga dengan gerai minuman yang dibantu pensyarah Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi VIsual, Rosmarwati Abdul Rahman, 35, untuk mempromosikan tiga perisa minuman vanilla, mocha dan coklat yang diusahakan sejak dua bulan lalu.

Beliau berkata, kini mereka sudah mempunyai agen untuk menjual minuman tersebut yang dipromosikan menerusi laman sosial seperti Facebook.