Ketua Jabatan Pengajian Dak­wah dan Kepimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Rosmawati Mohamad Rasit berkata, sebagai saudara baharu, Orang Asli lebih mudah terpengaruh dengan anasir negatif dan perkara itu perlu dihindari.

“Keputusan menerima Islam sudah cukup baik dan sewajar­nya kita menunjukkan contoh terbaik dalam segenap aspek supaya mereka tidak tergelincir daripada pegangan agama.

“Sehubungan itu, program turun padang melibatkan warga universiti dan Orang Asli perlu diadakan lebih kerap dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Rehlah Mahabbah bertempat di Komuniti Orang Asli Perlug, Pos Hendrop, Lojing di sini baru-baru ini.

Program selama seminggu bermula 17 Oktober lalu itu anjuran bersama UKM dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) selain mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Dalam program disertai 80 penuntut tahun akhir dan 20 pensyarah UKM itu, pelbagai aktiviti dilaksanakan seperti gotong-royong menceriakan kampung, acara sukan, forum, pertunjukan fesyen busana Islam dan pemeriksaan kesihatan.

Lebih 20 keluarga Orang Asli dari suku kaum Temiar yang memeluk Islam turut berpeluang menyertai aktiviti qiamulail, solat subuh berjemaah, tazkirah serta bengkel fardu ain.

Turut berlangsung ialah program khatan melibatkan 40 kanak-kanak Orang Asli.

Menurut Rosmawati, penyer­taan penuntut UKM dalam program itu merupakan Latihan Amali Dakwah (LAD) bagi memberi peluang kepada mereka melaksanakan asas pembelajaran yang dipelajari sepanjang tiga tahun berada di UKM.