Ketua Pegawai Operasi QIUP, Nicholas Goh berkata, kerjasama tersebut adalah satu permulaan untuk membolehkan universiti yang ditubuhkan pada 2011 itu mendapatkan akses kepada kemudahan penyelidikan SIRIM dalam bidang teknologi.

Kata Nicholas, melalui MoU tersebut juga SIRIM akan membantu QIUP membangunkan makmal yang terkini di universiti berkenaan

“Sudah memasuki tahun ke tujuh, QIUP terus berkembang dan kita amat menghargai kerjasama dengan SIRIM dalam usaha membantu memperkenalkan lagi universiti ini kepada umum.

“Malah penglibatan SIRIM ini mampu mewujudkan ruang kerjaya yang lebih luas buat pelajar lepasan QIUP selepas ini,” katanya selepas majlis MoU tersebut di QIUP di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, QIUP diwakili Nicholas manakala SIRIM diwakili Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani.

MoU tersebut disaksikan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi QIUP, Profesor Dr.Vailasini Pillai dan Pengarah Urusan SIRIM Sts Sdn. Bhd, Dr.Norlinda Mohd. Zawawi.

Sementara itu, Ahmad Fadzil berkata, SIRIM akan membantu QIUP bagi mempercepatkan pengeluaran pakar-pakar yang tersedia untuk industri terutama dalam bidang bioteknologi dan kejuruteraan.

“SIRIM juga akan berusaha membantu membangunkan bahan pengajaran dan laporan makmal yang lengkap supaya pelajar dilengkapi dengan penge­tahuan dan kemahiran yang diperlukan industri,” katanya.