Antara usaha yang dilakukan adalah mengadakan siri kuliah bersama duta asing di Malaysia. Tujuan program Ambassador Lectures itu dianjurkan antaranya untuk memberi peluang kepada penduduk setempat berinteraksi dengan duta-duta asing di Malaysia.

Kuliah terbaharu yang diadakan adalah pada 10 April lalu yang disampaikan oleh Duta Besar Itali ke Malaysia, Cristiano Maggipinto bertajuk, Itali dan ASEAN: Prospek Politik, Kebudayaan dan Ekonomi Bagi Hubungan Baharu.’

Kuliah tersebut menumpukan perhatian kepada peluang kerjasama antara Itali dan ASEAN dalam bidang perniagaan, teknologi dan pendidikan.

Dalam kuliahnya, Maggipinto menegaskan bahawa hubungan antara Itali dan Asia telahpun bermula seawal abad ke-13 apabila Marco Polo mengembara dari Eropah Selatan ke China.

Bagaimanapun katanya, pada zaman moden ini, hubungan dengan ASEAN dilihat semakin berkurangan, tetapi ia mempunyai ruang untuk ditingkatkan. Contohnya, Itali hanya menduduki tangga ke-22 sebagai rakan dagangan global ASEAN dan merupakan pelabur ke-17 terbesar di rantau ini.

Selain itu, dalam kalangan negara-negara Kesatuan Eropah, bilangan syarikat Itali di ASEAN dan Malaysia adalah jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan syarikat multinasional lain dari Jerman, United Kingdom, Perancis dan Belanda.

“Menyedari kepentingan ASEAN sebagai blok ekonomi, Itali kini telah meningkatkan usaha untuk mengeratkan hubungan melalui mekanisme seperti persatuan perniagaan dan perjanjian perdagangan bebas,” katanya.

Menurut Maggipinto, ba­nyak syarikat Itali telah membuat keputusan strategik untuk mengembangkan operasi mereka ke ASEAN terutama selepas kemerosotan ekonomi Eropah pada akhir tahun 2000.

Jelasnya, bilangan syarikat Itali di Malaysia telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh lima tahun yang lalu daripada 49 kepada lebih daripada 100 syarikat. Terdapat juga kenaikan perdagangan sebanyak 31.7 peratus dari Itali ke Malaysia dalam tempoh yang sama.

Program Ambassador Lectures itu dianjurkan oleh AEI sebagai aktiviti pembelajaran untuk pelajar dan sarjana pengajian ASEAN dan EU.

AEI kini menawarkan tempat untuk pengajian pascasiswazah di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) bertujuan meningkatkan pengetahuan, pemahaman dan amalan terbaik mengenai integrasi budaya, politik, sejarah serta ekonomi di antara kedua-dua rantau.

Program PhD di AEI merangkumi pelbagai isu sains sosial dan dua program Sarjana yang dengan penekanan terhadap kajian regionalisme dan regionalisasi.

Program-program itu, iaitu Sarjana Antarabangsa dalam Pengajian ASEAN (IMAS) dan Sarjana Antarabangsa dalam Integrasi Serantau Eropah (IMERI), dijalankan secara modular oleh profesor-profesor terkenal dari Asia dan Eropah.

Sebagai satu-satunya Pusat Kecemerlangan Jean Monnet (JMCoE) di ASEAN, AEI juga komited dalam menjalinkan usahasama kerja akademik mengenai isu-isu yang berkaitan dengan Asia dan Eropah.

Selain itu, AEI juga merancang untuk mengadakan beberapa program pada tahun ini antaranya program jangkauan sekolah pada Hari Eropah, bengkel penyelidikan dan persidangan antarabangsa pada Julai.

Persidangan yang bertemakan Dialog Kesatuan Eropah-ASEAN Mengenai Integrasi Ekonomi itu akan menampilkan para cendekia­wan terkenal, pegawai kanan kerajaan dan pembesar asing de­ngan membincangkan topik-topik seperti liberalisasi perdagangan, mobiliti dan inovasi, serta pemba­ngunan mampan dan ekuiti di ASEAN dan EU.