Program memasuki tahun ke­lima penganjurannya itu bertujuan mengagihkan juadah ber­sahur kepada masyarakat ter­utama anggota keselamatan, agensi kerajaan dan penghuni rumah anak yatim.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, program tersebut memberi tumpuan kepada petugas yang bekerja pada se­belah malam iaitu dalam kalangan penjawat awam dan agensi kerajaan yang menjaga keamanan serta keselamatan daerah ini.

“Program ini berkonsepkan singgah dan bermesra dengan mereka yang menjalankan tanggungjawab bekerja pada sebelah malam. Pada masa sama, kita meraikan mereka dengan meng­agihkan juadah bersahur.

“Selain itu, kakitangan dan mahasiswa UMP berpeluang mendekatkan diri dengan masyarakat setempat sekali gus merapatkan hubungan silaturahim serta memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan sukarelawan,” katanya di sini baru-baru ini.

Seramai 60 sukarelawan terdiri daripada ahli Kelab Kebajikan Sukan dan Rekreasi Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (Res­pec) dan Pejabat Naib Canselor universiti itu dengan kerjasama Persatuan Alumni UMP menyertai program berkenaan.

Menurut Yuserrie, program yang menjadi acara wajib universiti itu setiap kali tibanya bulan Ramadan dilihat sebagai usaha menzahirkan penghargaan kepada petugas yang menyumbang tenaga kepada negara.

Antara lokasi dikunjungi adalah Plaza Tol Gambang, Balai Bom­ba dan Penyelamat Kuantan dan Hospital Tunku Ampuan Afzan.

“Kita juga singgah dan bera­mah mesra dengan petugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Teluk Cempedak dan Rumah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman Kuantan,” katanya.

Tambah beliau, sukarelawan juga berpeluang bersahur de­ngan penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Miskin Nur Iman selain penyampaian sum­bangan bernilai RM3,000 kepada rumah anak yatim ber­kenaan.

Dalam pada itu, program Ziarah Prihatin Ramadan yang diadakan UMP berjaya mengumpul RM27,000 bagi membantu 100 keluarga termasuk asnaf, ibu tunggal, warga tua, pesakit kro­nik dan mualaf di daerah ini.