Pengerusi Shell Malaysia, Iain Lo berkata, pertandingan itu bertujuan memberi inspirasi kepada pencipta dan bakal jurutera muda dari seluruh universiti di rantau ini untuk membangunkan pendekatan baharu selaras mobiliti mampan.

“Hasrat Shell adalah untuk menjadi syarikat tenaga yang paling berdaya saing dan inovatif. Shell menyedari permintaan yang bertambah terhadap tenaga di serata dunia dan sedang bekerja keras untuk menanganinya secara bertanggungjawab.

“Pertandingan ini adalah cara kami untuk mengajak orang lain melakukan perkara yang sama dan gembira melihat peningkatan yang berterusan dalam tujuh standard pasukan yang menyertai pertandingan ini.

“Shell bangga kerana berjaya menyediakan peluang kepada pelajar universiti di Malaysia untuk meneroka kemahiran mereka dan eksperimentasi dengan sains dan teknologi untuk membangunkan penyelesaian mobiliti yang kreatif dan inovatif melalui cabaran yang diadakan di Singapura kali ini,”katanya.

Pertandingan itu berjaya menarik 120 pasukan dari 18 negara di rantau Asia.

Daripada jumlah itu, tujuh pasukan membentuk kontinjen Malaysia di Shell Eco-Marathon Asia 2018.

Pasukan dari Malaysia membariskan lima prototaip dan dua kenderaan konsep menggunakan hidrogen dan bateri elektrik.

Iain menambah, pertandingan ini mengasah potensi bakat pelajar universiti masing-masing dalam membina sebuah kereta baharu mengikut kreativiti yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Shell.

“Ia untuk menguji kredibiliti pelajar dalam membuat reka bentuk dan membina kereta lumba,” katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, penganjuran program itu secara tidak langsung dapat melahirkan bakal jurutera Malaysia yang kreatif dalam membuat keputusan dengan bijaksana dan cekal menghadapi cabaran mendatang.

“Program ini juga dapat mempamerkan kebolehan pelajar Malaysia dalam menganalisis kebolehan serta keupayaan mereka dalam bidang mekanikal dan automotif pada peringkat global,” katanya.

Beliau memberitahu, perlumbaan Shell Eco-Marathon Asia 2018 ini dapat membuktikan keinginan dalam menimba ilmu dan menyiapkan diri rakyat Malaysia sebagai jurutera dan pemimpin pada masa akan datang.

“Kegigihan dan kesungguhan pelajar dalam menyiapkan projek masing-masing adalah selari dengan cabaran Malaysia.

“Antaranya, mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan yang tinggi dan memandang ke hadapan yang menjadi aspirasi Shell,” katanya.