Pembangunan bakat ini terletak pada kualiti generasi muda yang bakal menerajui kepimpinan negara, penggunaan teknologi, pembaharuan global serta kepentingan geopolitik.

Usaha membina kualiti kepemimpinan generasi muda khususnya belia dan remaja adalah penting. Mereka merupakan aset yang bakal mengisi keperluan kepimpinan negara bagi tujuan kelangsungan pembangunan pada masa hadapan.

Perhatian masyarakat dunia terhadap pembinaan kualiti kepimpinan belia khususnya pelajar di universiti awam dan swasta semakin meningkat berikutan kesedaran masyarakat terhadap keperluan mempunyai pemimpin yang bersedia mengambil tanggungjawab memimpin negara.

Bagi merealisasikan matlamat itu, ASEAN Youth Exchange Programme (AYEP) dilihat dapat mengukuhkan jalinan kerjasama pemimpin muda serantau dalam pelbagai inisiatif ke arah meluaskan bidang pendidikan tinggi dan kepimpinan negara.

Gabungan persidangan dan program AYEP yang diadakan baru-baru ini di Universiti Chulalongkorn, Bangkok, Thailand merupakan usaha negara itu sebagai persediaan menjadi tuan rumah bagi Persidangan Kemuncak ASEAN 2019.

Program AYEP yang diadakan selama seminggu turut disertai 11 pelajar Malaysia dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Kesemua peserta terlibat dengan aktiviti yang dianjurkan tuan rumah termasuk lawatan ke destinasi pelancongan popular di Thailand.

Rata-rata peserta bangga untuk menonjolkan imej yang terbaik lantaran menjadi duta kecil kepada negara masing-masing.

Bagi mereka inilah peluang keemasan untuk memperkenalkan negara masing-masing.

Salah seorang peserta, Muhammad Hidayat Fahmi Shahrom Fahmi,21, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Inggeris, Universiti Malaya (UM) berkata, tugasnya sebagai duta kecil adalah untuk memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan berdaya saing di peringkat global.

“Program ini dilihat berpotensi menggalakkan pemahaman yang lebih meluas dalam kalangan pemimpin muda tentang ASEAN.

“Kami berpeluang berkongsi pengalaman dan idea melalui slot forum yang diatur. Setiap delegasi bekerjasama secara berkumpulan dalam menyiapkan kertas kerja cadangan bagi pembangunan ASEAN yang mapan,”katanya.

Muhammad Hidayat berkata,sepanjang mengikuti program itu dia berpeluang mengenali rakan-rakan baharu dari 10 buah negara.

“Walaupun kami berbeza budaya dan bahasa, namun tidak menghalang saya untuk berkongsi idea dan pandangan. Program ini dapat meningkatkan persefahaman antara pelajar dan belia ASEAN,”katanya.

Teyo Zhe Yong, 22, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dari Universiti Nottingham Malaysia pula berkata, pengalaman mengikuti program itu sangat menarik dan dia cuba menjalinkan hubungan dengan pelajar dari negara lain.

“Program pertukaran ini menyediakan pengetahuan langsung tentang masyarakat, budaya dan politik ASEAN di samping memupuk hubungan yang berkekalan.

“Selain mengukuhkan persefahaman dan komunikasi antara negara ASEAN, inisiatif ini mampu memupuk rangkaian serantau dan mengukuhkan kemahiran kepimpinan dalam kalangan belia ASEAN tentang masyarakat, sosiobudaya, dan politik,”katanya.

Teyo Zhe berkata, sepanjang mengikuti program itu, dia berkesempatan mengikuti amanat yang disampaikan oleh bekas Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva tentang dasar dan peranan Thailand dalam memperkembangkan dan membangunkan ASEAN.

“Sesi persidangan ini amat memberi kesan kepada saya kerana berpeluang mendengar sendiri pengalaman daripada seorang bekas ketua negara ASEAN yang ingin turut menjayakan visi One Vision, One Identity, One Community,”katanya.