Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, politeknik ke-34 yang terletak kira-kira dua kilometer dari pusat pentadbiran Kampung Raja itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi.

Katanya, pada masa ini kumpulan pertama yang membabitkan seramai 35 pelajar peringkat Diploma Teknologi Digital sedang mengikuti pengajian di premis sementara di Kampung Raja.

“Apabila beroperasi di kampus kekal kelak, Politeknik Besut akan memberi fokus kepada bidang kreativiti dan inovasi seperti kraf dan rekaan fesyen batik.

“Ketika ini kebenaran masuk tapak untuk melakukan kerja-kerja awal sudah diperoleh dan jika siap dibina kelak, kampus ini mampu menampung sehingga 1,200 pelajar pada satu-satu masa,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Politeknik Besut itu.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-tugas Khas negeri, A Latif Awang serta Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik, Datuk Amir Md. Noor.

Idris memberitahu, pembangunan politeknik baharu di kawasan seluas 28 hektar itu merupakan keuntungan besar buat penduduk Besut yang pada masa ini telah memiliki beberapa institusi pendidikan bagi memenuhi keperluan masyarakat.

Katanya, institusi itu termasuk dua buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Institut Pendidikan Guru (IPG), kampus Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa), Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Pusat GiatMara.

“Jika kerajaan tidak mempunyai wang mustahil kita boleh menjalankan pelbagai program apatah lagi untuk membangunkan kemudahan pendidikan buat rakyat seperti politeknik yang dilancarkan hari ini,” katanya.