NORLIAH KUDUS

Program pendaftaran pemilih dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu adalah antara sebahagian daripada lima aktiviti utama sepanjang karnival anjuran Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan (PBPI) universiti berkenaan.

Pengarah program, Dr. Norliah Kudus berkata, karnival tersebut yang julung kali dianjurkan oleh Utem adalah hasil kerjasama antara PBPI, Pejabat Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat Utem, Jabatan Penerangan Melaka, SPR dan akhbar Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi.

Beliau berkata, karnival itu bagi melahirkan mahasiwa yang holistik dan memberi pendedahan kepada mereka untuk meningkatkan tahap jati diri yang kini dilihat semakin luntur dan terhakis khususnya dalam kalangan generasi Y.

“Lima fokus utama kita sepanjang karnival ini akan diadakan iaitu pendaftaran pemilih dan kita sasarkan 1,500 pelajar Utem mendaftar di kaunter SPR sepanjang karnival tersebut.

“Tujuan kita mewujudkan program daftar pemilih ini adalah supaya Utem dapat melahirkan mahasiswa yang lebih bertanggungjawab kepada negara selain mengamalkan semangat patriotik terhadap tanah air,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Utem di sini hari ini.

Norliah yang merupakan Pensyarah Kanan di PBPI berkata, selain itu turut diadakan adalah program Zikir Asma Ul Husna atau Utem Berselawat pada Jumaat ini yang akan disertai lebih 300 pelajar, diikuti program Ziarah Kasih di mana para pelajar, Naib Canselor dan wakil rakyat di kawasan Durian Tunggal akan melawat 10 rumah asnaf untuk menerima bantuan sumbangan Jabatan Penerangan negeri.

Katanya, acara menarik Sabtu ini adalah Larian Patriotik Malaysia Dihatiku yang disertai 1,500 orang terdiri daripada pelajar dan kakitangan Utem bermula pukul 7 pagi.

“Sepanjang larian, peserta berpakaian patriotik dan mereka dibahagikan kepada 57 pasukan di mana setiap pasukan mempunyai 20 orang peserta.

“Sementara itu, Forum Apa Kata Gen Y pula diadakan 10 pagi melibatkan peserta dan penel terdiri daripada pelajar Utem dan mereka akan membincangkan tentang hati diri, rukun negara, perpaduan dan sumbangan Gen Y terhadap negara,” jelasnya.

Kata beliau, program itu akan diteruskan dengan Festival Mercu Gen Y di mana pelajar Utem akan mengamabil bahagian dalam pelbagai persembahan termasuk kursus cak lempong, gamelan, koir, taekwando, nasyid, silat, deklamasi sajak patriotik dan teater.

Menurutnya, Utem berharap penganjuran karnival akan membantu melonjakkan universiti itu sebagai bukan sahaja pusat pengajian yang menekankan bidang pengajian teknikal sebaliknya juga menerapkan amalan jati diri dan cintakan tanah air.

Majlis perasmian karnival tersebut pada Sabtu ini akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah.

Naib Canselor Utem, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib dan Timbalan Ketua Pengarah Penerangan (Pengurusan), Datuk Almain Ajirul dijangka hadir pada majlis berkenaan.