Kompleks yang terletak di kawasan kampus UTM berhampiran Jalan Maktab itu dibina di kawasan seluas 1.72 hektar pada Julai 2013 dan menelan kos sebanyak RM171. 5 juta.

Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, kesemua 500 unit bertaraf tiga dan empat bintang itu akan di­sewakan kepada pelajar dan orang awam, selaras hasrat menggalakkan universiti awam menjana pendapatan sendiri.

“Penginapan meliputi unit studio, dua dan tiga bilik yang diuruskan secara profesional oleh Widad Hospitality Management dan The Regency sekali gus memastikan keselesaan dan kemudahan serba lengkap kepada penyewa. Hasil pendapatan daripada kompleks ini boleh membiayai program dan aktiviti anjuran UTM.

“Kemudahan tersebut diharap dapat menarik lebih ramai pelajar dari dalam dan luar negara mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di UTM,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar; Pengarah Urusan Kumpulan Ahmad Zaki Sdn. Bhd.(AZSB), Datuk Seri Wan Zakariah Wan Muda dan Pengerusi AZSB, Datuk A. Rahman Abdullah.

Menurut Abdul Halim, kompleks setinggi 33 tingkat itu dilengkapi dewan permainan boling, dewan serbaguna, kolam renang, 60 ruang perniagaan dan 719 lot letak kenderaan.