Ketua Projek tersebut, Sarman Mohamad berkata, pelajar juga dapat mengumpul pendapatan sendiri melalui lukisan-lukisan mural yang dibuat untuk menampung perbelanjaan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau berkata, peserta projek tersebut juga dapat mengalami sendiri suasana bekerja di luar berbekalkan kemahiran yang mereka peroleh di UiTM yang melibatkan pengurusan masa dan penyediaan bahan-bahan yang diperlukan.

“Projek ini turut memberi pendedahan berhubung kerja luar yang berkaitan dengan bidang kemahiran yang dipelajari mereka.

“UiTM Kelantan kampus Machang merencanakan beberapa projek mural yang bukan sahaja memberi ilmu kepada penuntut, malah membolehkan penuntut memperoleh pendapatan sampingan,” katanya ketika menyiapkan mural di Mini RTC Teratak Batu, dekat sini, baru-baru ini.

Sarman berkata, sebelum ini, penuntut terbabit menyiapkan penghasilan karya mural bagi menjayakan kempen menghapus nyamuk aedes dan mencegah penyakit denggi di Jabatan Kesihatan Negeri, di Kota Bharu.

“Pada masa sekarang, kumpulan penuntut dan pensyarah, pelukis profesional dan belia di nege­ri ini sedang memulakan projek penghasilan mural terbesar di bandar Kota Bharu yang dijangka siap pada pertengahan November nanti.

“Ini juga merupakan salah satu program amal yang diadakan oleh pihak universiti untuk membantu kerajaan dalam pelbagai kempen bagi menyedarkan rakyat,” katanya.