Malah, Juliana Aziera serta adik-adiknya, Ayu Shaheera, Zul Azril dan Zul Azrul menjadikan bapa mereka, Datuk Dr. Zulkepli Mohamad yang juga pemilik sebuah firma perakaunan sebagai pakar rujuk ketika mengulang kaji pelajaran.

Keempat-empat beradik berumur 21 tahun yang menuntut dalam bidang perakaunan itu mengakui amat rapat sejak kecil malah ada yang beranggapan mereka adalah kembar kerana seusia.

“Kami berempat macam belangkas sejak kecil, belajar bersama-sama dan ba­nyak menghabiskan masa bersama memandangkan kami sebaya dan banyak benda boleh dikongsi.

“Selain guru, ‘papa’ banyak bantu kami dalam pelajaran. Dia juga jadi guru dan bantu kami di rumah malah sanggup pergi kelas semata-mata untuk membantu kami mengulangkaji pelajaran. Keadaan itu tetap sama sehinggalah kami menamatkan diploma perakaunan ini,” kata Juliana Aziera.

Dalam konvokesyen tersebut, Ayu Syaheera dan Zul Azrul memperoleh Anugerah Naib Canselor apabila masing-ma­sing mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.89.

Zul Azril dan Zul Azrul kini melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di UiTM Machang dan Puncak Alam pada Mac lalu manakala Ayu Syaheera dan Juliana Aziera membantu ayah mereka di firma perakaunan, Zulkepli & Co.

Zulkepli dan keempat-empat isterinya, Datin Hasnah Mat Ya, 59; Rafizah Senawi, 51; Nurida Razali, 51, serta Norreha Abdul Rahman, 48, hadir pada istiadat konvokesyen tersebut.

Sementara itu, Zulkepli yang juga Pengerusi Eksekutif Zulkepli & Co. berkata:

“Selain ilmu dunia, saya juga menekankan ilmu akhirat kepada anak-anak dan seluruh keluarga agar mereka berjaya dalam kedua-dua bidang dan sentiasa dekat dengan Allah.

“Sekalipun sibuk dengan tugas harian, saya akan pastikan anak-anak sentiasa dekat de­ngan saya. Anak-anak tidak pernah hadiri kelas tambahan di luar sebaliknya saya berusaha ajar mereka sendiri di rumah.”