Kerjasama itu dicapai menerusi memorandum perjanjian (MoA) yang ditandatangani kedua-dua pihak untuk membolehkan perkongsian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kejuruteraan yang seterusnya menyumbang kepada pembangunan inovasi, bakat-bakat mahir dan latihan vokasional kepada masyarakat negara ini.

Melalui kerjasama ini, ZTE menawarkan peluang latihan kepada pelajar-pelajar tempatan untuk meningkatkan keupayaan praktikal serta membolehkan mereka mendapat akses dan kepakaran dalam bidang ICT di kampus.

Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq berkata, kerjasama ini tepat pada masanya apabila universiti mengukuhkan kedudukan dengan ZTE yang merupakan syarikat peneraju dalam penyediaan pembekal terkemuka bagi penyelesaian telekomunikasi menyeluruh pada peringkat global.

“Dengan kemudahan dan peluang baharu ini, MMU mengukuhkan kehadirannya sebagai universiti swasta terkemuka di Malaysia yang menyediakan pendidikan berkualiti tinggi dan bertaraf dunia terutama dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.

“Kerjasama ini memperkasa reputasi MMU dalam bidang Kejuruteraan pada peringkat global selepas MMU baru-baru ini disenaraikan pada kedudukan 200 teratas dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings by Subject 2017 untuk Kejuruteraan Elektronik (E & E) dan Elektronik bagi tahun ketiga berturut-turut,” katanya.

Melalui ZTE, beliau berkata, MMU dapat mempunyai akses yang kaya dengan kursus dan perisian untuk menyediakan kakitangan dan pelajar kemahiran untuk bersaing dengan kadar industri telekomunikasi.

Pelancaran Pusat Latihan MMU-ZTE yang beroperasi di Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi (FET) MMU Kampus Melaka itu disempurnakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Seri Halim Shafie.

Yang turut hadir, Naib Presiden Sumber Manusia ZTE Corporation, Zeng Li dan Naib Presiden (Akademik) MMU, Prof. Dr. Hishamuddin Ismail.

Sementara itu, Pengarah Urusan ZTE Malaysia, Steven Ge berkata, kerjasama itu mengukuhkan jaringan hubungan ZTE dengan universiti-universiti terkemuka di dunia sebagaimana cadangan kerajaan China untuk melaksanakan rancangan Satu Jaluran Satu Laluan (One Belt One Road).

“ZTE akan menjadikan pusat latihan ini sebagai platform perkongsian intensif dengan universiti-universiti tempatan bagi membantu membangunkan inovasi dan teknologi, latihan vokasional tempatan serta memberikan sumbangan kepada penanaman bakat yang kondusif kepada masyarakat tempatan,” katanya.