Program itu membolehkan Pusat Islam memahami dan menghayati corak pentadbiran pendidikan rendah sehingga pendidikan tertinggi di Terengganu sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan.

Pengarah Pusat Islam, Prof. Madya Dr. Sofri Yahya berkata, Pusat Islam sentiasa dahagakan ilmu dan pengalaman baharu apatah lagi perubahan ke arah mencapai tadbir urus lebih baik dan berkesan.

“Atas sebab itu, kita korbankan masa hari ini adalah untuk mempelajari ilmu dan kepakaran urus tadbir institusi pendidikan lain agar kita dapat membuat lonjakan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan buat pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, program itu turut memberi ruang kepada idea yang telah dikongsi untuk dipraktikkan khususnya di Pusat Islam pada masa depan.

Katanya, usaha itu juga bertepatan dengan kelulusan penubuhan Pejabat Wakaf USM di bawah seliaan Pusat Islam pada Mac lalu, sekali gus memerlukan bantuan kepakaran seperti dari Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) bagi berkongsi pengalaman tadbir urus wakaf di universiti tersebut.

Terengganu yang sinonim de­ngan pengurusan akademik terbaik menjadi pilihan USM untuk berkongsi kepakaran pendidikan rendah melalui program lawatan ke Tadika Yayasan Islam Terengganu dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selain Unisza.