Naib Canselornya Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, idea penubuhan itu bertujuan bagi pengembangan integrasi ilmu berdasarkan al-Quran dan sunnah serta kepakaran akal itu untuk kepentingan pembangunan negara dan kemanusiaan sejagat.

Usaha itu juga tambahnya, adalah bertepatan dengan sasaran USIM untuk menjadi institusi rujukan serantau dalam integrasi ilmu naqli dan aqli pada 2016 (USIM’16) dan global menjelang 2025 (USIM’25).

“Pusat baru ini bakal menjadi penggerak utama untuk merealisasikan hala tuju USIM iaitu menjadi universiti terkemuka dunia dalam integrasi ilmu naqli dan aqli melalui pendekatan pelan tindakan yang strategik, komprehensif dan efektif.”

“Ia juga akan memainkan peranan untuk menyebar luas falsafah, prinsip dan amalan integrasi ilmu naqli dan aqli dalam kalangan masyarakat, khususnya organisasi awam dan industri melalui seminar dan program libat sama,” katanya.

Beliau berkata pada majlis pelancaran logo rasmi Sambutan 15 Tahun USIM (2000-2015) oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Abdul Shukor Husin, baru-baru ini.

Musa berkata, penubuhan pusat integrasi itu juga bakal menjadi rujukan antarabangsa terutamanya negara serantau dalam komuniti ASEAN.

“Bertepatan dengan pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2015, inilah masanya USIM perlu menonjol dan pacu segala usaha, rangka dan programkan segala perancangan supaya 2016 nanti, USIM akan dicari dan dirujuk oleh rakan-rakan serantau 10 negara dalam komuniti ASEAN,” katanya.