Naib Canselor UiTM, Prof.Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, hari tersebut diadakan dengan tujuan memberi pendedahan kepada pelajar UiTM khususnya dari APB untuk menyumbang bakti kepada masyarakat dan mewujudkan rasa prihatin kepada golongan orang kelainan upaya (OKU).

“Dengan bertemakan ‘Altruisme Menjana Kesejahteraan Masyarakat’ kita berharap program sebegini mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja hebat dari segi akademik tetapi mempunyai nilai yang murni.

“Program diadakan ini merupakan aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa dan warga APB,” katanya.

Yang hadir sama ialah Dekan APB UiTM, Prof. Madya Dr. Ahmad Mazli Muhammad; Penasihat Program Hari Altruisme APB 2017, Azhar Wahab; dan Pengarah Programnya yang juga Presiden HUGS, Dr. Noor Ahnis Othman.

Hassan berkata, antara pengisian program yang diadakan ialah permainan bola sepak OKU penglihatan dan acara Larian Amal Altruisme APB yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu Larian Amal 1km, 5km dan kerusi roda.

“Program ini diadakan dengan kerjasama Pasukan Bola Sepak CIMB Pan-Disability, Pusat Jagaan Our Kids Are Special (Orkids) dan Malaysia Advocates for Cerebral Palsy (MyCP) bagi kesemua program yang diadakan pada hari tersebut,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya mengalu-alukan kehadiran mana-mana selebriti di negara ini tidak kira daripada bidang hiburan, sukan mahupun bidang-bidang lain untuk turut serta dalam program yang diadakan.