Mereka menyifatkan bidang pengajian yang ditawarkan di politeknik tersebut bukan sahaja tidak menghampakan bagi yang ingin mendapatkan kemahiran, malah mudah diterima oleh pasaran kerja.

Graduan Diploma Sains Ke­setiausahaan dari Jitra, Kedah, Nur Shafiyna Nadzwa Mohd. Dzamri, 22, berkata, dia memilih untuk menyambung pelajaran ke PTSS kerana menyediakan bidang yang diminatinya iaitu pengurusan pejabat.

“Saya bersyukur kerana ilmu ini amat berguna dan ia dapat digunakan sepenuhnya dalam bidang yang diceburi sekarang,” katanya yang kini bertugas sebagai Pembantu Peribadi kepada Pengurus Besar di sebuah syarikat di Bangi, Selangor.

Bagi graduan Diploma Pengurusan Hotel dan Katering, Muhammad Najmuddin Faiq Baharul Akmar, 24, pemilihan bidang tersebut amat berguna untuknya bagi menceburi pekerjaan yang berkaitan pada masa depan.

“Saya ditawarkan bekerja di sebuah hotel yang baru dibuka sebaik sahaja tamat pengajian tetapi hanya selama tiga bulan kerana lebih berminat untuk bekerja di Malindo Air,” katanya yang kini bekerja di Bahagian Khidmat Pelanggan syarikat penerbangan itu.

Nurain Syafiqah Shuib, 22, pula berkata, dia memilih untuk belajar di politeknik kerana mahu mendapatkan kemahiran dalam pengajian Kejuruteraan Mekanikal.

Dia yang kini bekerja di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang bercadang menyambung pengajian melalui Program Jarak Jauh (PJJ) kerana mahu menggunakan kemahiran yang dipelajari semasa belajar di PTSS.

Graduan Diploma Pengurusan Perniagaan, Mohamad Nurzuhaili Mohamad Yusoff, 22, pula berkata, dia memilih untuk mengikut kursus Masakan dan Pramusaji di Pusat Giat Mara, Kangar.

“Ilmu yang berguna dalam perniagaan ini nanti akan saya gabungkan dengan bidang masakan yang bakal diterokai secara serius pada masa depan,” katanya.