Mohd. Pauzi Ibrahim
Mohd. Pauzi Ibrahim

Lulusan PSMZA kini berada di merata pelosok negara, mencurahkan ilmu dan kemahiran yang ditimba, diperkukuhkan oleh pengalaman dan masa untuk membina kehidupan dan memberikan perkhidmatan.

Mereka adalah sebahagian daripada hasil usaha berterusan kerajaan untuk menterjemahkan harapan dalam melahirkan mo­dal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing dalam bidang teknikal dan vokasional menuju megara maju.

Ini diperkukuhkan lagi melalui Program Pendidikan, Tenikal dan Vokasional (TVET) yang diperkenalkan secara me­luas di rangkaian Politeknik seluruh negara.

Pengarah PSMZA, Mohd. Pauzi Ibrahim menarik perhatian terhadap program itu yang ternyata dapat mengisi ke­perluan pelabagi industri pada masa kini selain mengukuhkan keyakinan untuk mereka berdikari.

“Implikasi daripada itu, kadar kebolehpasaran graduan meningkat agak ketara dalam tempoh tiga tahun terkini, daripada 64.52 peratus pada 2014 kepada 90.23 peratus dan seterusnya pada tahun 2016 mencapai 96.03 peratus.

“Peratusan dijangka lebih tinggi membuktikan lepasan PSMZA mendapat permintaan yang tinggi dari pihak industri,” ujarnya kepada Utusan Malaysia dalam kenya­taan sempena Majlis Konvokesyen ke-14 PSMZA esok.

Konvokesyen dalam dua sesi itu bagi meraikan 1,001 graduan bakal disempurnakan oleh Timbalan Ke­tua Setiausaha

(Pengurusan) Kementerian Pen­didikan Tinggi, Datuk Kamel Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa.

PSMZA kini menawarkan sembilan program di peringkat diploma dan satu program Pradiploma melibatkan empat jabatan induk iaitu Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Kejurute­raan Mekanikal, Teknologi Maklumat & Komunikasi dan disokong oleh dua jabatan sokongan iaitu Matematik, Sains & Komputer serta Pengajian Am.

Kampus PSMZA terletak di tapak seluas 30.64 hekar di kaki Bukit Bauk dengan pelbagai pra­srana termasuklah kamsis yang boleh menempatkan 1412 pelajar di samping perumahan kakitangan dan kompleks sukan.

Kewujudan institusi itu yang beroperasi sejak 2001 di Sekolah Menengah Teknik Dungun sebelum ke kampus sendiri mulai 8 Oktober 2001, turut menjana kepesatan perkembangan bandar dan pertumbuhan ekonomi ma­syarakat setempat.

Rentetan sejarahnya bermula dengan pengarah pertama, Mohd Ghaouse Abdul Kadir, diikuti Lim Kok Leong, Mahassan Zakaria (semasa dikenali sebagai Politeknik Dungun), Mejar (K) Zolkarnain Jobhsi, Mejar (K) Md Noor Baharom dan kini diterajui Mohd. Pauzi.

Ia semakin mengukuhkan kedudukan sebagai sebuah politeknik yang menjadi pilihan lepasan sekolah yang meminati bidang teknikal dan PSMZA kini berada di landasan tepat untuk menjadi pusat pendidikan yang berpengaruh.