Pengarah Pelajaran Malaysia Chicago, Azimah Aziz berkata, penglibatan pelajar Malaysia dalam program sebegini telah berjaya mempromosikan negara dalam kalangan pelajar antarabangsa seterusnya menarik minat mereka untuk mengenali Malaysia dengan lebih dekat.

“Malah, penglibatan aktif penuntut Malaysia dalam kalangan pelajar antarabangsa di University of Tulsa, juga berada di tahap yang amat membanggakan dan persatuan pelajar Malaysia menjadi tulang belakang kejayaan penganjuran program ini,” katanya dalam satu kenyataan melalui e-mel baru-baru ini.

Program Malam Antarabangsa 2016 ini merupakan program kerjasama antara persatuan pelajar dari pelbagai negara yang mendapat sokongan Pusat Khidmat Pelajar Antarabangsa (ISS) universiti itu.

Berdasarkan tema program Legend of The Earth, pelajar Malaysia mengetengahkan legenda Mahsuri sebagai latar tema persembahan yang disampaikan dalam bahasa Melayu dengan disertakan sari kata bahasa Inggeris pada skrin layar.

Pelajar negara lain yang turut membuat persembahan ialah China, Indonesia, Vietnam, Korea Selatan, India, Tajikistan, Afghanistan, Iran, Kuwait, Angola, Ecuador dan Amerika Syarikat.

Dianggarkan kira-kira 700 orang terdiri daripada pelajar, pensyarah, staf universiti dan penduduk setempat menyaksikan keunikan tradisi dan budaya yang dipersembahkan oleh para pelajar dari pelbagai negara dalam program tersebut.

Yang turut menyaksikan program ini ialah Pembantu Dekan ISS universiti, David Kobel dan Atase Pendidikan Malaysia Chicago, Alzasha Illiyyin Zainal Alam.

David dalam ucapannya berkata, penglibatan aktif pelajar Malaysia banyak menyumbang terhadap kejayaan aktiviti AIS yang menjadi wadah perpaduan antara pelajar tempatan dan antarabangsa terutama program Malam Antarabangsa ini.

“Sebagai contoh, juruacara majlis, Reeza Redzuan Rosna dengan kebolehannya menguasai pelbagai bahasa berjaya menceriakan suasana dan menghidupkan program pada malam ini,” katanya memberi pujian.

Pada akhir program, Presiden AIS universiti itu, Wong Tun Hao, 21, diberi Anugerah Pelajar Antarabangsa University of Tulsa kerana kecemerlangan khidmat bakti beliau memimpin pelajar antarabangsa dalam lapangan akademik dan sosial.