Acara tahunan yang diperkenalkan sejak tahun 2013 itu diadakan pada 9 hingga 11 April lalu di Dewan Sri Budiman UiTM, Shah Alam.

Enam teater tersebut ialah Perangkap (Nurhani Suliman), Konfesi (Aiman Juperi/Alhassan Munawar/Nurhanan Kamalia), Tegar (Nellhanan Mansor), Ruang Peribadi (Hilmi Rusydi), Empat Segi Malang (Ammirul Aiman/Nor Dalila Abd Malik) dan Destinasi Terakhir (Imanisa Saian/Shasha Fairus).

Keenam-enam teater tersebut ternyata menghiburkan dan membawa mesej tersendiri. Bagaimanapun, antara teater yang mendapat sambutan hangat dan menarik penonton adalah Tegar, karya dan arahan sepenuhnya Nellhanan.

Bukan sahaja jalan cerita yang membuatkan penonton ketawa dan bersorak sepanjang persembahan, malah Tegar memperlihatkan kekuatan para pelakon melalui lakonan mantap tetapi bersahaja.

Tegar mengisahkan Hanis (Elena Cho) yang sanggup menjadi kekasih kedua Nazmi (Irwan Sumadi) walaupun mengetahui lelaki itu telah merancang untuk berkahwin dengan kekasih pertamanya, Aida (Qistina Balqis) sebelum bertemu dengan Hanis.

Dua orang teman serumah Nazmi, Ryzal (Khairi Anwar) dan Ashraf (Hilmi Fikri) secara tidak langsung terlibat dalam pergolakan cinta Hanis-Nazmi-Aida walau dalam hati masing-masing, antara merelakan dengan tidak akan keadaan yang berlaku dalam lingkungan mereka itu.

Nellhanan yang juga mahasiswa semester pertama Sarjana Komunikasi dan Pengajian Media memberitahu, Tegar disampaikan melalui sudut pandangan orang ketiga dalam sebuah perhubungan cinta, iaitu watak Hanis.

Tegar yang mengangkat tema cinta, persahabatan dan feminisme ternyata dekat dengan hati penonton dan berjaya disampaikan dengan berkesan.

“Saya memilih untuk menyampaikan sebuah kisah nyata dari segi jalan cerita mahupun penggunaan ayat dalam dialog supaya penonton lebih terkesan atau mungkin boleh merasakan ‘dejavu’,” katanya kepada .com.

Ditanya tentang kekuatan Tegar, Nellhanan menjelaskan, bahawa beberapa aspek telah dititikberatkan pada setiap pelakon sehingga memberi kesan kepada watak yang dibawa.

“Disiplin dan pemahaman watak sangat penting. Semasa sesi latihan kami selalu berbincang tentang latar belakang dan isi tersirat setiap ayat yang dilontarkan,” ujarnya yang turut mengagumi filem-filem arahan pengarah tempatan, Bernard Chauly dan Aziz M. Osman.

Mengulas tentang aspek pemilihan pelakon, antara para pelakon Teater ProjekKamu3 merupakan mereka yang tidak asing lagi dalam arena teater UiTM.

Katanya, bekerjasama dengan mereka yang telah berpengalaman dalam lakonan teater adalah satu pengalaman yang amat bermakna dalam bidang tersebut.

“Sikap kerjasama dan bantu-membantu sesama ahli kumpulan membuatkan kami langsung tidak ada masalah dalam menggabungkan pelakon berpengalaman dan amatur apabila sering berkongsi ilmu dalam teater,” katanya.

Ternyata Projek KAMU merupakan platform yang baik bagi membudayakan teater dalam kalangan mahasiswa dan wajar diteruskan pada masa-masa akan datang.– NUR HIDAYAH MUSTAFA