Tidak dapat disangkal bahawa teknologi telekomunikasi yang berkembang pesat itu sebenarnya didorong oleh ledakan teknologi maklumat. Pencantuman dunia teknologi maklumat dan telekomunikasi akhirnya menghasilkan pembangunan teknologi canggih yang membawa dunia ke abad baharu iaitu berasaskan teknologi maklumat.

Melihat kepada kepentingan teknologi telekomunikasi masa ini, Universiti Kuala Lumpur Bri­tish Malaysian Institute (UniKL BMI) mengambil langkah menawarkan program baharu, Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Kepujian) Telekomunikasi yang telah ditawarkan kepada umum bermula Januari 2017.

Menurut Program Koordinatornya, Saiful Yusri Mohd. Yassin, program itu diperkenalkan setelah mengambil kira maklum balas daripada pihak industri dan para akademik yang berpendapat teknologi pada masa ini memerlukan gabungan dua pengetahuan iaitu komunikasi data dan komunikasi mudah alih.

Oleh itu, katanya, UniKL BMI telah mengambil pendekatan mengabungkan dua program sedia ada di UniKL BMI iaitu komunikasi data dan komunikasi mudah alih menjadi satu program yang lebih terperinci dan terkini iaitu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Kepujian) Telekomunikasi.

“Malah, program itu telah dikemas kini dengan subjek-subjek baharu dan teknologi terkini yang sememangnya digunakan dalam bidang telekomunikasi, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

“Antara subjek yang ditekankan adalah komunikasi tanpa wayar, komunikasi satelit, ke­selamatan rangkaian, komunikasi mudah alih yang memberi fokus kepada teknologi terkini seperti 3G, 4G dan Long-Term Evolution (LTE) dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui di UniKL BMI di Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Saiful Yusri berkata, program selama empat tahun itu turut menekankan pendekatan hands-on yang mana pelajar akan diberikan lebih praktikal berbanding teori iaitu 60 peratus praktikal dan 40 peratus teori.

Katanya, untuk memastikan setiap pelajar dibekalkan dengan kemahiran yang mencukupi, pihaknya juga mengamalkan teknik pengajaran yang berbeza iaitu tidak hanya mengajar sebaliknya pe­lajar dididik untuk bijak menyelesaikan masalah melalui tugasan makmal selain penilaian melalui online.

“Kami juga akan mengemas kini program-program pada se­tiap tahun supaya ia sentiasa selari dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Ka­nan, Ahmad Roshidi Amran berkata, pelajar UniKL BMI juga diajar menggunakan peralatan terkini seperti peralatan rangkaian komputer CISCO yang sememangnya banyak digunakan oleh pihak industri.

Ahmad berkata, pelajar juga digalakkan untuk mengambil sijil profesional CISCO sebagai satu nilai tambah yang dapat membantu mereka apabila tamat pengajian kelak.

“Pelajar sebenarnya telah didedahkan dengan teknologi CISCO apabila mengikuti program ini. Malah, terdapat subjek berkaitan CISCO dalam silibus program tersebut.

“Oleh itu, tiada masalah untuk mereka mendapatkan sijil profesional CISCO, lebih-lebih lagi pelajar tidak dikenakan sebarang bayaran untuk menduduki pe­periksaan tersebut jika ia diambil ketika belajar di UniKL BMI,” kata Ahmad.

Pensyarah Kanan, Dr. Zuhanis Mansor pula berkata, dengan adanya nilai tambah tersebut, graduan UniKL BMI lebih mudah diterima bekerja di syarikat-syarikat kerana mereka bukan sahaja mempunyai pengetahuan teori yang tinggi dan dibekalkan de­ngan kemahiran teknikal, tetapi juga memperoleh sijil profesional CISCO yang sememangnya diiktiraf oleh industri.

Jelas beliau, ilmu yang di­bekalkan itu membuatkan setiap graduan UniKL BMI hanya memerlukan bimbingan yang mini­ma apabila memasuki alam pekerjaan. Peluang pekerjaan juga luas kerana permintaan terhadap graduan telekomunikasi sentiasa wujud selagi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) diperlukan dalam organisasi.

“Malah, kami juga mewajibkan pelajar menjalani lawatan industri semasa mereka dalam pengajian. Aktiviti yang dikenali sebagai Industrialmanship memerlukan pelajar menjalani latihan selama dua minggu setiap semester bermula tahun pertama pengajian.

“Latihan ini tidak termasuk latihan industri selama 14 minggu yang perlu dijalani setiap pelajar pada akhir pengajian mereka. Pendekatan secara hands-on yang diterapkan dalam pembelajaran ini membuatkan UniKL BMI cukup istimewa dan berbeza berbanding institusi pengajian tinggi (IPT) yang lain,” katanya.