Jumlah tersebut kian meningkat, apabila tahun ini seramai 106 pelajar FPSK berjaya menamatkan pengajian dalam program Ijazah Doktor Perubatan.

Menariknya, empat lulusan yang berjaya menamatkan pengajian merupakan pelajar cohort pertama program Asasi Sains UMS, yang merupakan kumpulan pertama pelajar 33 dari Sabah yang mengikuti bagi program tersebut yang bermula 26 April 2010.

Dalam satu pertemuan dengan keempat-empat pelajar itu baru-baru ini, masing-masing berbangga kerana berpeluang menyambung pengajian dalam program Asasi Sains, seterusnya menamatkan pengajian dalam Ijazah Doktor Perubatan.

Nur Fazilah Hanisah Zaipudin, anak kelahiran Kota Belud, Sabah berasa bangga kerana menjadi antara pelajar Asasi Sains pertama yang menamatkan pengajian selama lima tahun dalam program perubatan UMS.

“Sewaktu menjadi kumpulan pertama Asasi Sains, bilangan kami ketika itu lebih kecil dan terdapat banyak kelebihan dan kemudahan yang kami nikmati.

“Justeru, saya rasa gembira kerana memilih program Asasi Sains selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kerana selain faktor tempat yang lebih dekat dengan keluarga, program ini merupakan laluan mudah ke peringkat universiti yang hanya mengambil masa setahun menamatkan kursus,” kata siswazah perubatan yang meminati bidang perbidanan dan sakit puan.

Bagi Azizul Fahmi Awang pula, yang meminati cabang perubatan telinga, hidung dan tekak pula merasakan mempelajari bidang perubatan sememangnya mencabar.

“Pada awal proses pembelajaran keadaan agak sukar sehingga merasakan mahu mengalah dan berputus asa, apatah lagi kerisauan menghadapi kegagalan sentiasa wujud.

“Namun atas usaha berterusan saya cuba mendapatkan kekuatan mental bagi mengatasi perasaan itu dan bertahan sehingga berjaya menghabiskan pengajian,” kata Azizul yang merupakan anak jati Sipitang.

Pengalaman manis sepanjang pengajian di UMS bagi Nabilah Akriah yang berasal dari Kota Kinabalu, beliau sememangnya telah mempersiap diri dari segi mental seawal yang mungkin.

“Saya menerima pendedahan berkenaan bidang perubatan ini sejak dari kecil memandangkan ibu juga merupakan seorang doktor perubatan, justeru situasi dan tekanan sudah dijangka dalam bidang ini.

“Tetapi pengalaman di UMS banyak membantu saya untuk mempersiap diri pula dalam kerjaya sebagai doktor perubatan selepas ini, kerana peluang menyertai aktiviti seperti pemberian bantuan perubatan kepada masyarakat pedalaman ketika pengajian memberi saya kelebihan dan kemahiran perubatan yang boleh saya aplikasikan di hospital klinikal mahupun di kawasan pedalaman,” ujar Nabilah yang turut meminati bidang kepakaran perbidanan dan sakit puan.

Sementara itu rakannya Mohammad Syazmeen Mohd Shah, anak jati Tawau ini turut merasakan pengalaman pengajian di UMS, terutama sebagai antara kumpulan kecil Asasi Sains yang pertama merapatkan lagi hubungan sesama mereka seperti sebuah keluarga.

“Hubungan kekeluargaan dan saling membantu ini menjadi kekuatan kepada kami dalam menempuh cabaran pengajian di UMS.

“Diharap nilai kekeluargaan dan tanggungjawab membawa nama sebagai pelajar Asasi Sains dapat dicontohi dan memberi motivasi kepada pelajar Asasi Sains UMS yang lain untuk menjadi insan berkualiti,” kata Azizul yang berhasrat untuk mendalami bidang kepakaran ortopedik selepas ini.