Empat produk tersebut ialah album Al-Fatihah 7 Taranum, Selawat Kontemporari, puisi Islamik Berikan Sakti dan buku Koleksi Poket Pantun.

Menurut Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad, usaha yang yang dilakukan oleh Pusat Kebudayaan USIM itu juga dapat meningkatkan pendapatan universiti itu melalui penjualan produk seni.

“Universiti adalah tempat untuk membentuk semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar. Langkah yang dilakukan bukan sahaja meningkatkan pendapatan malah mampu mengangkat jenama pusat kebudayaan melalui penghasilan penerbitan seni.

“Ini juga selaras dengan hasrat melihat pelajar USIM melibatkan diri dalam bidang keusahawanan,” katanya ketika berucap melancarkan empat produk itu di USIM, Nilai baru-baru ini.

Yang turut hadir Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah, Tan Sri Dr. Nordin Kardi dan Penolong Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Hassan Mohd. Noor

Majlis tersebut dikendalikan oleh pengacara televisyen, Ahmad Fedtri Yahya dan dimeriahkan dengan persembahan oleh Hafiz Hamidun, Siso (Kopratasa), Ahmad Nash selain dihadiri komposer lagu, Fauzi Marzuki.

Pada tahun lalu, Pusat Kebudayaan USIM buat pertama kali telah melancarkan empat produk sulungnya.

Dalam pada itu, Musa berkata, masyarakat juga perlu melihat seni sebagai satu sumber ilmu dan komponen penting dalam menggarap kreativiti generasi masa depan.

Ujarnya, dalam tradisi Islam, seni adalah ekspresi emosi dan pengamatan akal manusia yang mengungkapkan keindahan yang lahir dari hati manusia dan tanda kesyukuran terhadap nikmat Allah.

Dalam pada itu, ujar beliau, bagi memastikan aktiviti seni dan budaya di universiti itu berjalan mengikut garis panduan syariah, satu panel telah ditubuhkan bagi tujuan berkenaan.

“Kita ada prosedur operasi standard (SOP) untuk aktiviti seni dan budaya supaya ia mematuhi aspek-aspek yang dibenarkan agama. Kita juga merakamkan aktiviti yang diadakan supaya apabila ada perkara berbangkit kita boleh lihat dan nilai semula,” katanya.

Ujarnya, program seni dan budaya di USIM perlu dijalankan dengan berlandaskan agama memandangkan kebanyakan pelajar universiti itu datang dari sekolah agama dan wajar menjadi contoh kepada universiti lain.

Beliau berkata, bagi menghasilkan produk berkualiti, USIM telah melantik penasihat produk, karyawan dan ikon seni yang memberi idea dan berkongsi kepakaran masing-masing dengan universiti itu pada tahun lalu.