Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, purata keseluruhan prestasi staf universiti itu meningkat selaras dengan pelaksanaan ‘polisi keluar’ (exit policy) yang diperkenal tahun lalu bagi menilai dan meningkatkan prestasi kakitangan Utem.

“Setakat ini, enam orang yang merangkumi pensyarah, pegawai dan pelaksana sudah dikenal pasti berdasarkan markah prestasi yang diperoleh pada tahun lalu kurang daripada 60 markah.

“Bagaimanapun, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan khusus bagi memantau perkembangan mereka sehingga hujung tahun ini untuk melihat sama ada terdapat peningkatan prestasi atau semakin teruk sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya selepas menyampaikan anugerah kepada penerima-penerima dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Sanjungan Universiti Utem di Melaka baru-baru ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, Utem hanya mempunyai 13 kes berdasarkan statistik kesalahan tatatertib dari tahun 2004 sehingga kini.

“Kes-kes berkenaan juga merupakan kes kronik seperti penyalahgunaan dadah.

“Kami hanya mahu memastikan lebih 2,000 kakitangan Utem bekerja bersungguh-sungguh serta mempunyai kualiti dan integriti.

“Sungguhpun begitu, Utem tidak akan membuat keputusan terburu-buru kerana setiap tindakan yang diambil perlu mengikut syarat dan prosedur yang ditetapkan sebelum memutuskan sama ada mereka yang bermasalah boleh diberhentikan kerja atau meneruskan perkhidmatan,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 174 petugas profesional dan sokongan Utem terpilih menerima APC dan satu daripadanya merupakan Anugerah Calon Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) yang diraih Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Dr. Siti Hajar Sheikh Md. Fadzullah.

Pada masa sama, terdapat dua penerima Anugerah Jasa Bakti (AJB) iaitu Pengarah Pusat Islam, Dr. Muhd. Akmal Noor Rajikon dan Pegawai Teknologi Maklumat Kanan, Mohamed Suhaimi Abdullah.

Menurut Shahrin, anugerah berkenaan merupakan pengiktirafan dan penghargaan Utem kepada staf yang menunjukkan kualiti perkhidmatan cemerlang serta memenuhi kehendak kumpulan sasar.