Bagi anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu, PMTG ba­nyak mengajarnya tentang ilmu ke­pemimpinan, pengurusan dan pentadbiran semasa mengikuti jurusan Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Permainan).

Malah, kepercayaan yang diberi kepadanya untuk me­mimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PMTG pada sesi 2014/2015 serta menjadi Ahli Jawatankuasa MPP Politeknik Malaysia membuatkannya ber­syukur kerana dapat menje­jakkan kaki di politeknik ber­kenaan.

Hari ini, segala pencapaian dan kejayaannya itu dihargai apabila menerima Anugerah Sri Gelugor iaitu anugerah pelajar terbaik kese­luruhan dalam majlis konvokesyen pertama PMTG di sini.

“Di PMTG, saya mendapat banyak ilmu sampingan yang menjadikan saya lebih bersedia untuk memasuki alam pekerjaan atau digunakan ketika me­nyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Teknikal dan Vokasional (Multimedia Kreatif) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

“Biarpun belajar di peringkat diploma di PMTG, namun proses pengajaran dan pembelajarannya menyediakan pelajar untuk mema­suki alam pekerjaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas Maj­lis Konvokesyen PMTG di sini.

Seramai 40 graduan mene­rima diploma masing-masing dalam majlis konvokesyen itu yang disampaikan oleh Presiden Gabungan Industri Kandungan Kreatif, Datuk Jurey Latiff Rosli.

Yang turut hadir, Pengarah PMTG, Abdul Malek Hassan.

Turut menerima anugerah dalam majlis itu ialah S. Durgen­dran (Anugerah Pengarah PMTG Sesi Disember 2015) dan Faris Ha­ziq Mohd. Onn (Anugerah Pengarah PMTG Sesi Jun 2016).

Sementara itu dalam majlis sama, seorang penuntut, Maizal Faez Ikmal Jamaludin turut menerima Anugerah Projek Terbaik PMTG menerusi projek Jom Sihat.