Ini dibuktikan oleh kejayaan dua atlet olahraga paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhamad Ziyad Zolkefli yang telah mencipta sejarah dengan menyumbang pingat emas pada Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, sekali gus menjulang nama Malaysia dalam melahirkan atlet OKU berprestasi tinggi.

Kecemerlangan atlet OKU negara, telah membuktikan cabaran fizikal dimiliki bukan halangan mempamer kebolehan diri dan mencatat kejayaan dalam mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa.

Politeknik Malaysia juga tidak ketinggalan dalam membantu serta memberi galakan kepada pelajar dan alumni OKU yang menuntut di institusi itu, untuk terus melakar kejayaan dalam bidang yang diceburi.

Salah seorangnya, alumni Diploma Pengurusan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam (PSA), Nadzry Hamzah, 25, yang merupakan atlet OKU yang turut mewakili negara dalam sukan paralimpik bagi kategori bola keranjang berkerusi roda.

Sebelah kakinya terpaksa dipotong untuk mengelakkan sel-sel kanser yang dihidapi daripada terus merebak.

Nadzry merupakan pelajar PSA yang rajin dan dikenali dalam kalangan teman dan pensyarah semasa pengajiannya.

Walaupun sedar akan kekurangan diri, dia tidak langsung patah semangat untuk terus berjaya dalam pelajaran dan aktiviti kokurikulum.

Minat terhadap bidang kaunseling di PSA sedikit sebanyak membantu Nadzry untuk terus berdaya saing dalam pelajaran.

Penglibatan aktif dalam menjana tabung dan kesedaran kanser negara juga berjaya menarik perhatian media luar dan dalam negara terhadap anak muda ini.

Antara kejayaan terbesar Nadzry ialah mendaki Gunung Kinabalu di Sabah.

Dalam usaha meningkatkan kecemerlangan, Politeknik Malaysia terus membantu golongan OKU yang serba kekurangan untuk berjaya dalam akademik.

Seorang alumni Diploma Kejuruteraan Mekatronik Politeknik Port Dickson (PPD), Negeri Sembilan, Saifullah Kamarul, 22, membuktikan keraguan segelintir masyarakat tentang kebolehannya nyata tidak berasas.

Walaupun menghidap autisme, dia berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading seperti insan normal lain.

Saifullah membuktikan kejayaan dalam bidang akademik dengan mendapat keputusan cemerlang pada setiap semester.

Ibunya, Norazimah Nordin merupakan tunjang utama kepada kejayaan Saifullah, membantu dan menaikkan semangat tanpa jemu sehingga cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berjaya melanjutkan pelajaran di politeknik.

Pembelajaran Saifullah di politeknik pula dibantu oleh pensyarah PPD yang banyak memberi sokongan moral terhadapnya untuk menimba ilmu pengetahuan.

Dalam pada itu, Pembelajaran di Politeknik Malaysia yang berteraskan dalam bidang teknikal dan vokasional (TVET) telah membuka peluang kepada pelajar OKU untuk menimba ilmu seperti orang lain.

Pembelajaran TVET merangkumi pembelajaran berteraskan teori dan praktikal yang seimbang ke arah melahirkan graduan teknikal berkualiti.

Di politeknik, terdapat lima program yang dibangunkan khas untuk pelajar OKU bagi menyambung pengajian mereka, iaitu Sijil Pembinaan Awam, Sijil Penyenggaraan Mekanikal, Sijil Hotel dan Katering, Sijil Rekaan Fesyen dan Pakaian, serta Sijil Reka Bentuk Grafik.

Seiring dengan visi dan misi Politeknik Malaysia ke arah menghasilkan graduan work-ready, graduan OKU juga dihargai dalam menyumbang khidmat bakti kepada negara.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kejayaan alumni Politeknik Malaysia, layari laman FB: Saya Produk Politeknik.