Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik, Datuk Dr. Mohd. Ismail Abd. Aziz berkata, empat politeknik tersebut ialah Politeknik Sultan Idris Shah, Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Azlan Shah dan Politeknik Port Dickson.

“Pasukan Malaysia yang terdiri daripada 24 pelajar akan me­nyertai empat kategori utama iaitu HuroCup, AndroSot, RoboSot dan SimuroSot serta 30 sub kategori lain.

“Kejohanan ini merupakan kali kelapan penyertaan politeknik Malaysia dalam FIRA Roboworld dan mereka akan bertanding de­ngan 10 negara lain bagi merebut kejuaraan," katanya.

Beliau ditemui selepas lawatan kerja sempena persiapan pasukan Politeknik Malaysia ke kejohanan tersebut, dekat sini, semalam.

Kejohanan FIRA Roboworld merupakan acara tahunan yang diadakan sebagai platform per­tandingan robot bola sepak serta dijadikan medan pembentangan mengenai perkembangan teknologi robotik di peringkat antarabangsa.

Mohd. Ismail berkata, pertan­dingan tersebut secara tidak langsung membantu pelajar untuk berfikiran kreatif dalam melakukan inovasi dan strategi terbaik kepada robot pasukan masing-masing.

Sebagai persiapan katanya, para peserta mendapat bimbingan daripada pensyarah kejuruteraan di beberapa politeknik dalam usa­ha menambah baik robot sedia ada.

“Justeru, setiap pasukan perlu menggunakan pengalaman tersebut sebaik mungkin untuk memberi saingan hebat kepada pasukan yang bertanding.

“Saya berharap semua pasukan yang mewakili Malaysia akan bersaing dengan semangat juang yang tinggi serta mempamerkan keupayaan semaksimum mungkin sekali gus membawa kejayaan kepada negara,” ujarnya.

Pasukan Malaysia terdiri daripada pelajar yang sedang mengikuti pengajian dalam program Diploma Kejuruteraan Elektronik Komunikasi, Diploma Kejurutera­an Elektronik Komputer, Diploma Mekatronik dan Diploma Teknologi Maklumat.