Projek yang dianggarkan menelan kos RM167 juta itu akan dibangunkan di kawasan seluas 28 hektar di Bukit Keluang, Besut dengan reka bentuk kelihatan futuristik dan mesra alam, bagi memenuhi harapan dan keperluan masa depan.

Pembinaan politeknik yang bakal mengukuhkan daerah ini sebagai hab utama pendidikan negeri merupakan yang ketiga di negeri ini selepas Dungun dan Kuala Terengganu, selain yang ke-34 di seluruh negara.

Ia dijangka siap menjelang 2020 dengan keupayaan menampung sehingga lebih 2,000 pelajar yang antara lain menawarkan bidang pengajian Diploma Teknologi Digital (Teknologi Maklumat) yang membuka laluan kemahiran dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, perikanan dan teknologi pembuatan.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap; dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Prof. Datuk Dr. Mohd Ismail Abdul Aziz.

Politeknik Besut ditubuhkan pada 22 Mac tahun ini, namun hanya beroperasi di bangunan sementara di Kampung Raja, Besut, dengan jumlah pelajar seramai 20 orang bagi program Diploma Teknologi Digital (DDT), manakala 12 pelajar dalam jurusan Pradiploma Sains.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, penubuhan politeknik yang mengetengahkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) itu diyakini mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing.

Beliau berharap politeknik berkenaan dapat turut melahirkan sehingga 5,000 graduan setahun dalam bidang industri kreatif dan teknologi maklumat, berbanding hanya 500 setahun ketika ini.

Ahmad Zahid yakin sasaran itu mampu dicapai dengan penubuhan Politeknik Besut yang akan memberi tumpuan dalam bidang pengajian Diploma Teknologi Digital itu.

“Statistik yang diberikan kepada saya menunjukkan kira-kira 500 graduan dilahirkan politeknik setiap tahun dalam bidang industri kreatif dan teknologi maklumat.

“Ini tidak cukup. Kita mahu politeknik lahirkan 5,000 graduan setahun untuk penuhi keperluan tenaga kerja mahir dan separa mahir dalam negara kita,” katanya.

Beiau menarik perhatian, insitusi latihan TVET semakin diyakini dan terus mendapat tempat apabila sebanyak 85 peratus lulusannya mampu mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian masing-masing.

Malah, jelas Ahmad Zahid, sebanyak 50 peratus lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mempunyai kecenderungan menyambung pengajian ke institusi itu dengan pelbagai bidang pengajian yang ditawarkan.