Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan hari ini berkata, anugerah tersebut menjadikan Polimas sebagai politeknik kesembilan mendapat pengiktirafan emas di Asia Pasifik.

“Kejayaan Polimas ini bersandarkan pelbagai kelebihan antaranya mereka bentuk dan membangunkan dua perhentian bas sebagai kemudahan untuk kegunaan masyarakat dan pelajar selain mengeluarkan buku 'A Record of Golden Memories' bagi mendokumenkan bukti kukuh berkaitan kerja-kerja ke arah pemuliharaan bangunan warisan,” katanya.

KPT berkata, Polimas turut mempunyai Centre of Town and Regional Planning (CTOP) dan merupakan satu-satunya politeknik yang menawarkan program Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah dan menggunakan teknologi terkini secara aktif dalam pengajaran dan pembelajaran serta merupakan pemenang kepada anugerah e-pembelajaran dan penggunaan paling tinggi bagi Curriculum Information Documentation Online System (CIDOS).

“Selain Polimas, lapan politeknik lain turut tersenarai dalam kalangan 12 terbaik bagi tahun ini iaitu Politeknik Ungku Omar, Politeknik Kota Bharu, Politeknik Sultan Azlan Shah, Politeknik Ibrahim Sultan, Politeknik Port Dickson, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah dan Politeknik Seberang Perai,” katanya. - BERNAMA