PJJ di bawah kendalian UPM Education and Training Sdn. Bhd. itu menawarkan pengajian peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana kepada golongan bekerjaya selaras de­ngan usaha untuk membolehkan masyarakat Malaysia memperoleh pengetahuan merentasi sempadan.

UPM Education and Training yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Pendidikan Luar itu sememangnya bergerak seiring dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam merangsang pembelajaran sepanjang hayat dan menghasilkan tenaga kerja yang berpengetahuan dalam bidang yang diceburi.

Bertepatan dengan itu, ramai golongan bekerjaya daripada pelbagai profesion telah memilih program PJJ UPM dan sehingga kini jumlah graduannya juga telah meningkat kepada 15,689 orang.

Working Adult Education adalah pendekatan utama yang digunakan PJJ UPM bagi membantu golongan bekerjaya memperoleh diploma atau ijazah bagi menambah nilai kepada profesion mereka.

Pelajar tidak perlu berhenti kerja untuk mengikuti mana-mana program yang ditawarkan PJJ UPM.

Pendekatan pembelajaran yang diketengahkan adalah dengan mem­beri fokus kepada pelajar sambil dibantu melalui tutorial dan perjumpaan bersemuka.

UPM Education and Training akan menyediakan kemudahan kepada pelajar dan apa jua bantuan yang diperlukan. Namun, pelajar diwajibkan menghadiri perjumpaan bersemuka dengan pensyarah sekurang-kurangnya dua kali dalam satu semester di kampus UPM atau melalui persidangan video.

Kelas tutorial turut dijalankan di pusat pembelajaran yang terdapat di seluruh negara terma­suk di Sabah dan Sarawah sehingga 12 jam dalam satu semester.

Pelajar dapat merasakan sesi pengajian mereka seperti sepenuh masa, di samping menikmati kelas tutorial dengan tutor berpengalaman mengikut format yang diiktiraf KPT. Ini termasuk perancangan semester bagi tugasan, peperiksaan dan aktiviti-aktiviti lain.

Kombinasi antara internet dan video membolehkan pihak universiti menyediakan kemudahan dalam usaha meng­hubungkan sesi kuliah sebenar kepada pelajar yang berada di pusat pem­belajaran PJJ UPM melalui rakaman langsung.

Persidangan vi­deo dike­nali sebagai LIP itu menjadi budaya pendidikan tinggi di UPM. Sesi kuliah dirakam dan dipaparkan di laman web UPM Education and Trai­ning bagi membolehkan pelajar membuat rujukan pada bila-bila masa.

UPM Education and Training turut menyediakan modul pembelajaran ken­diri kepada pelajar. Ini akan membantu mereka dalam pem­belajaran, tugasan dan tutorial mereka.

Sementara itu, permohonan kemasukan boleh dilakukan da­lam talian pada bila-bila masa dan tiada had umur ditetapkan untuk PJJ UPM.

Apa yang nyata, program PJJ UPM bukan sahaja melahirkan pelajar yang bermutu dan berpeluang meningkatkan diri dalam kerjaya, malah program tersebut juga mempunyai permintaan yang tinggi dalam era pekerjaan kini.

Melalui 17 pusat pembelajaran yang disediakan di seluruh negara, termasuk kampus utama UPM, pelajar mempunyai pilihan untuk mengikuti sesi pembelajaran di lokasi yang paling dekat dengan mereka tanpa perlu memikirkan tentang kesukaran menghadiri kelas.

Pusat Pembelajaran adalah di Kedah (Alor Setar), Perak (Ipoh), Selangor (Shah Alam), Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (Se­remban), Melaka (Ayer Keroh), Johor (Johor Bahru), Pahang (Kuantan), Terengganu (Kuala Terengganu), Kelantan (Kota Bha­ru), Sabah (Kota Kinabalu) dan Tawau), Sarawak (Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri) dan kampus UPM Serdang.