Pada usia muda itu, Dr. Naja Nadiera bukan sahaja sudah menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) malah bidang Fizik yang didalaminya juga bukan calang-calang kerana tidak semua mampu menguasainya.

Lebih membanggakan, segala usaha dan kerja keras Naja Nadiera itu membolehkan beliau bergelar pemegang Ijazah Doktor Falsafah termuda dalam sesi konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung kelmarin.

Sementara itu, Naja Nadiera berkata, meskipun sudah bergelar Doktor Falsafah, beliau tidak akan berhenti daripada meneroka bidang sains fizik dan bercadang untuk mendalami kajian dalam bidang pengkhususan biofizik.

Dalam masa sama, katanya, beliau bersyukur dengan kejayaan itu namun tidak mahu berada di kedudukan sama sebaliknya berhasrat keluar dari zon selesa.

“Bergelar graduan PhD pada usia muda tentunya menggembirakan dan anugerah itu satu bonus untuk saya melangkah lebih jauh dalam bidang ini.

“Namun, saya tidak mahu terlalu berpuas hati dengan pencapaian ini kerana sedar ia tidak akan ke mana jika tidak berani keluar daripada zon selesa.

“Kalau boleh, saya ingin me­rebut apa jua peluang yang ditawarkan khasnya berkaitan bidang yang dipelajari,” katanya.

Nada Najiera sebelum ini mendapat keputusan cemerlang di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik sebelum ditawarkan USM untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD di bawah program PhD Fast Track USM dalam bidang pengkhususan bio­fizik.

Sepanjang tempoh pengajiannya, dia turut menyumbang penulisan dalam jurnal selain membentangkan hasil penyelidikannya dalam persidangan antarabangsa.

Naja Nadiera adalah antara 6,850 graduan yang akan bergraduasi di USM bermula 28 Oktober sehingga 2 November ini.